Grup Buku Karangkraf sumbang buku, sokong BukuHub

Firdaus (kiri) menyampaikan sumbangan buku bernilai RM10,000 kepada BukuHub, sebuah perpustakaan komuniti di Johor dan Kuala Lumpur.
Firdaus (kiri) menyampaikan sumbangan buku bernilai RM10,000 kepada BukuHub, sebuah perpustakaan komuniti di Johor dan Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Grup Buku Karangkraf menyumbang buku bernilai RM10, 000 bagi menjayakan BukuDrive, program pengumpulan buku untuk diedarkan ke beberapa BukuHub di Johor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, Karangkraf terpanggil untuk bekerjasama dengan UEM Sunrise Berhad atas dasar tanggungjawab sebagai syarikat pengeluar buku untuk menarik masyarakat meminati buku.

Menurutnya, sumbangan bahan bacaan berbentuk ilmiah itu juga diharapkan mengukuhkan jenama buku terbitan syarikat khususnya dalam kalangan murid sekolah.

"Kami akan bekerjasama dengan UEM Sunrise untuk menyalurkan sumbangan buku kami kepada beberapa sekolah yang menjadi anak angkat syarikat pemaju itu.

"Bertepatan dengan bahan ilmiah kepada murid sekolah secara tidak langsung ia pintu kepada anak-anak ini membesar dengan buku terbitan Karangkraf," katanya yang hadir menyalurkan sumbangan pada pelancaran BukuDrive di pusat beli-belah Publika di sini hari ini.

Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Hannah (kanan) meninjau kemudahan buku di BukuHub Publika, hari ini.
Hannah (kanan) meninjau kemudahan buku di BukuHub Publika, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, BukuHub adalah seperti perpustakaan komuniti yang ditempatkan dalam Publika bagi membolehkan pengunjung mendapatkan bahan bacaan sambil membeli-belah.

Artikel Berkaitan:

"Projek sama telah dilaksanakan di Johor sebelum diperluaskan ke Kuala Lumpur. Untuk menjayakan BukuHub ini kita memerlukan buku yang boleh disumbangkan oleh komuniti sama ada buku baharu atau terpakai dengan meletakkannya di pusat pengumpulan BukuDrive di pusat beli-belah sama.

"Projek ini dilaksanakan sejak Februari lalu dan kini sudah ada tiga lokasi BukuHub yang akan ditambah bergantung kepada kesesuaian lokasi," katanya.

Hannah memuji langkah itu yang dianggap kreatif untuk memupuk sikap membaca dengan meletakkan bahan bacaan di lokasi tumpuan.

"BukuHub ini mesra wanita kerana wanita bebas membeli-belah sementara anak dan suami ada tempat menunggu, mengisi masa dengan membaca. Ia juga lokasi selamat kepada kanak-kanak kerana dipantau ibu bapa.

"Usaha ini memupuk masyarakat untuk membaca buku ilmiah, mendapatkan info penting dan tepat berbanding maklumat di media sosial," katanya.