Tangani penyebaran berita palsu: Raja Bahrin

Raja Bahrin ketika ditemubual selepas merasmikan Karnival Riuh Dammak Terengganu FM bersempena Hari RTM ke-73 di Jabatan Penyiaran Terengganu, Bukit Pak Apil, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Masyarakat negara ini perlu bijak menganalisis berita bagi mengelak terjebak dan berkongsi berita palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, penyampaian berita yang tepat kini begitu penting kerana ada kalanya rakyat keliru untuk membezakan fakta sahih atau palsu.

“Rakyat ada kalanya keliru dengan terlalu banyak berita disampaikan oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab. Inilah perkara yang perlu ditangani kerana terlalu banyak ‘fake news’ yang disebarkan bagi kepentingan tertentu.

“Misalnya, di kementerian saya sendiri beberapa minggu lalu, ada beberapa berita palsu yang disebarkan contoh mengenai pemberian rumah dan sebagainya yang diuar-uarkan dan tiada penyelenggaraan sisa pepejal dilakukan oleh pihak kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan gimik perasmian Karnival Riuh Dammak Terengganu FM bersempena Hari RTM ke-73 di Jabatan Penyiaran Terengganu, Bukit Pak Apil, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Program Radio, Jabatan Penyiaran, Norba’iyah Baharudin dan Timbalan Pengarah Penyiaran Terengganu, Nasrul Hakim Md Noh.

Mengulas lanjut, katanya, walaupun berita disebarkan itu palsu, sekiranya ia sentiasa diulang, tidak mustahil masyarakat akan percaya bulat-bulat.

“Kita perlu perbaiki berita dan maklumat yang tidak tepat sebab itulah kita perlu memberi gambaran yang cepat dan tepat untuk perbaiki situasi.

“Waktu untuk kita tangani berita palsu ini begitu kritikal, kita tak boleh biarkan ia berkisar dalam kalangan rakyat terlalu lama,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia