Tujuh anggota polis dibebaskan dengan jaminan SPRM

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Tujuh anggota polis termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor yang ditahan reman sejak 24 April untuk siasatan berhubung bersubahat menerima suapan RM6,500 dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Suspek berusia 28 hingga 53 tahun yang bertugas di ibu pejabat polis sebuah daerah di negeri ini dibebaskan dengan jaminan RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selepas siasatan selesai.

Sumber SPRM memaklumkan, SPRM Pahang membuat permohonan Pelepasan Tahanan Reman ke atas kesemua suspek hari ini di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Kuantan, Humaira KM Haider di Kompleks Mahkamah Kuantan.

Pembebasan suspek disahkan Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Fauzi Husin.

Semua suspek ditahan 23 April lalu selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang berhubung dakwaan menerima suapan RM6,500 daripada seorang lelaki sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu.

Suspek sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Artikel Berkaitan: