Pekebun hina Agong dijel 2 bulan

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekebun dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong di dalam laman sosial Facebook miliknya bulan lalu.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Sharil Mohd. Sarif, 36, dan memerintahkan hukuman ke atas lelaki tersebut berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkap pada 13 Mac lalu.

Ketika membuat keputusan itu Edwin berkata, tidak dinafikan perkataan yang digunakan OKS yang diwakili peguam M. Dinesh jelas melanggar-undang yang diperuntukkan.

Malah beliau juga bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal bahawa hukuman berat adalah perlu bagi mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan, malah boleh menjadi amaran kepada kepada masyarakat lain.

Bagaimanapun beliau berkata, mahkamah juga ambil maklum hujahan peguam bahawa hukuman yang akan diberikan perlulah berbentuk pemulihan dengan mengambilkira semua faktor.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya menghormati sistem beraja di negara ini.

"Serangan yang menyinggung terhadap sistem perlembagaan beraja negara perlu diberi perhatian yang serius, terutamanya bagi negara kita yang mana semua pihak mempunyai perasaan hormat yang mendalam terhadap sistem beraja," katanya.

Mengikut pertuduhan, Sharil didakwa menggunakan aplikasi Facebook miliknya secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada pukul 1 petang, 12 Mac lalu.

Penghantaran yang disertakan dengan sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong itu kemudian telah dibacakan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 11.30 pagi pagi, 13 Mac lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.