Pembangkang puji prestasi KPKT

Raja Bahrin (dua dari kanan) ketika hadir ke majlis perasmian Karnival Riuh Dammak Terengganu FM bersempena Hari RTM ke-73 di Jabatan Penyiaran Terengganu, Bukit Pak Apil, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Layanan sama rata tanpa membezakan ideologi politik serta perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada seluruh rakyat mendapat pujian daripada wakil rakyat pembangkang.

Timbalan KPKT, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia adakan satu pengiktirafan kepada pihaknya untuk terus ke hadapan dalam mengamalkan sepenuhnya sikap dan corak pentadbiran kerajaan PH seperti diumumkan sebelum ini.

"Apa yang kita umumkan ialah sikap 'Keterbukaan Kita Tidak Memilih Bulu' dan memberi bantuan sepatutnya kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan B40 selain kesungguhan terhadap 'Dasar Perumahan Negara 2018-2023' yang dilancarkan kira-kira lebih tiga bulan lalu.

"Kita tidak menyangka pembangkang memberi penghormatan kepada kementerian menerusi ucapan penghormatan yang dinyatakan sendiri oleh seorang bekas menteri ketika sesi perbahasan di Parlimen, tiga minggu lalu," katanya selepas menyempurnakan gimik perasmian Karnival Riuh Dammak Terengganu FM bersempena Hari RTM ke-73 di Jabatan Penyiaran Terengganu, Bukit Pak Apil, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Program Radio, Jabatan Penyiaran, Norba'iyah Baharudin dan Timbalan Pengarah Penyiaran Terengganu, Nasrul Hakim Md Noh.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga akan memberi penekanan terhadap isu perumahan yang menjadi antara masalah utama dihadapi rakyat.

"Saya rasa ini lah antara kelebihan KPKT setakat ini, anjakan dasar perumahan negara, dan juga memberi penekanan utama kepada mereka yang berkenaan yang betul-betul perlu pembelaan dari segi pemilikan rumah pertama.

"Kita akan berikan yang terbaik khususnya bagi pemilikan rumah pertama, bukan rumah kedua kerana rumah pertama adalah keperluan asas manusia hari ni. Insya-ALLAH," katanya.