Pesta Kanak-kanak Islam Malaysia 2019 meriah

Isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad (enam dari kiri) ketika hadir merasmikan Pesta Kanak-kanak Islam Malaysia 2019 di Space U8 Shah Alam di sini.
Isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad (enam dari kiri) ketika hadir merasmikan Pesta Kanak-kanak Islam Malaysia 2019 di Space U8 Shah Alam di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pesta Kanak-kanak Islam Malaysia 2019 membawa mesej Kesatuan dalam Kepelbagaian menyajikan pelbagai manfaat bukan saja kepada kanak-kanak malah ibu bapa.

Lokasi pertama program ini diadakan bertempat di Space U8 Shah Alam di sini bermula pada 26 sehingga 28 April ini.

Pengerusi Pesta Kanak-kanak Islam Malaysia (MICF), Dayang Lily Maznah Abg Muas berkata, pelbagai acara menarik diadakan yang bukan saja menarik untuk kanak-kanak malah ibu bapa.

"Di sini terdapat ruang robotik, ruang seni batik, ruang STEM, ruang Toy Hospital, ruang jualan produk kanak-kanak, aktiviti memanah, pertandingan muazzin, pertandingan hafazan, pertandingan bercerita dan pelbagai program lain yang menarik.

"Selain daripada aktiviti untuk kanak-kanak, program ini juga menampilkan pelbagai pameran dan jualan produk oleh usahawan berkaitan kanak-kanak," katanya.

Dayang Lily Maznah Abg Muas
Dayang Lily Maznah Abg Muas

Katanya, Pesta Kanak-kanak Islam Malaysia atau Malaysia Islamic Children’s Fair (MICF) merupakan tahun ketujuh diadakan.

"MICF dimulakan sebagai cetusan idea sekumpulan ibu bapa yang mencari satu landasan di mana berkumpulnya ibu bapa, pendidik, usahawan dan penggubal dasar yang saling menyokong satu sama lain dalam membentuk anak-anak sebagai pemimpin ummah masa hadapan yang soleh.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ketujuh ini, kami kembali ke Shah Alam, di mana MICF yang pertama sehingga ketiga telah diadakan di Shah Alam," katanya.

"Pada MICF kali ini, kami bersyukur kerana mendapat sokongan daripada beberapa badan NGO seperti Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM), Malaysia Chinese Muslim Assocation (MACMA), Persatuan Autisme SURIA, Persatuan Kebajikan An-Najah Selangor, Al-Aqsa School, Persatuan Pemerkasaan Akar Umbi (Grassroots) dan Pertubuhan Kemajuan Kanak-Kanak Zurriyat Malaysia.

"Apa yang kita harapkan adalah program ini dapat menerapkan nilai kasih sayang dan saling membantu di kalangan kanak-kanak," katanya.

Pelbagai reruai yang disediakan kepada para pengunjung di Pesta Kanak-kanak 2019 di Space U8 Shah Alam di sini.
Pelbagai reruai yang disediakan kepada para pengunjung di Pesta Kanak-kanak 2019 di Space U8 Shah Alam di sini.

Jelasnya, pihaknya juga menyediakan beberapa forum serta ceramah percuma khas untuk ibu bapa yang menyentuh pelbagai topik yang relevan dengan masa kini.

"Ia termasuk isu keselamatan siber, isu kelewatan perkembangan kanak-kanak serta pemakanan sihat khususnya untuk Ramadan.

"Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan antaranya Toy Hospital dengan kerjasama KPJ University College di mana kanak-kanak akan didedahkan akan kepentingan penjagaan kesihatan mereka melalui mainan mereka," katanya.

Turut hadir merasmikan Pesta Kanak-kanak islam Malaysia ini adalah Isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Hadir sama Ketua Pemasaran Strategik Kumpulan Media Karangkraf, Naquiah Muhamad Noor, Pengurus Operasi KPJ University College, Nur Sakinah Abdul Samad dan Dr Hamdan Daniel dari Persatuan Tadika Islam Malaysia.