Permohonan Najib batal tujuh tuduhan SRC diketahui Isnin ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini menetapkan Isnin ini untuk membuat keputusan dalam permohonan notis usul yang dikemukakan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan oleh pasukan peguambela Najib dan hujahan balas pendakwa raya dalam satu prosiding pendengaran hari ini.

Dalam hujahannya, peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata, Mahkamah Tinggi wajar membatalkan tujuh pertuduhan ke atas anak guam mereka kerana pertuduhan itu tidak jelas dan cacat.

Beliau berkata, pendakwaan ke atas anak guamnya perlu jelas dan khusus bagi membolehkan anak guamnya mengetahui dengan lebih tepat mengenai pertuduhan yang dihadapi.

"Ianya perlu bagi membolehkan pasukan pertahanan mempersiapkan pembelaan yang berkesan," katanya.

Selain itu Mohd Yusof berkata, dakwaan pecah amanah terhadap Najib tidak menyatakan bagaimana kesalahan itu dilakukan kerana di bawah kesalahan itu termasuk lima elemen dilakukan dengan tidak sengaja, menyalahgunakan, menukarkan kegunaan sendiri, atau menggunakan harta secara tidak jujur.

Tambahnya, pendakwaan tidak boleh menuduh Najib dengan dua kesalahan pecah amanah yang berbeza dan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah lebih RM42 juta pada masa yang sama.

Sehubungan itu, katanya, tidak ada kesan prejudis kepada pihak pendakwaan jika mahkamah membenarkan usul tersebut kerana pihak pendakwa bebas untuk meminda tuduhan itu malah mengenakan pertuduhan baru terhadap Najib yang lebih mengikut undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram membantah notis usul tersebut kerana ianya tidak bermerit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau berkata, permohonan Najib adalah 'pramatang', kerana mereka boleh mencabar tuntutan di akhir perbicaraan setelah semua bukti telah didengar.

Tegasnya tuduhan ke atas Najib tidak prejudis kerana berdasarkan cara pasukan peguam bela Najib menyoal balas saksi-saksi pendakwaan semasa perbicaraan yang sedang berlangsung menunjukkan bahawa mereka jelas mengenai dakwaan terhadap Najib.

Najib pada 3 April lalu memfailkan notis usul bagi menuntut perisytiharkan bahawa tujuh tuduhan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berhubung dana SRC Intertional Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang dihadapinya, adalah cacat.

Perbicaraan kes tersebut sudah masuk hari yang ke-9 dan pihak pendakwaan telah mengemukakan seramai 21 orang saksi yang memberi keterangan.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.