Ambil serius titah Sultan Johor

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Khairul Faizi Ahmad Kamil
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua pihak mesti mengambil serius titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mahu semua pihak mengetepikan sebarang perbezaan terutama berkaitan Kerajaan Persekutuan dan Johor.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, beliau menyokong penuh titah tersebut demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Johor.

"Saya menyokong penuh titah Sultan Johor agar semua pihak mengetepikan sebarang perbezaan khususnya melibatkan Kerajaan Persekutuan dengan Johor, dan harapan agar semua pihak dapat memberi kerjasama penuh agar pentadbiran dan pengurusan negeri Johor berjalan lancar.

"Sebarang perbezaan, perselisihan dan salah faham dapat diselesaikan dalam pertemuan di antara pihak-pihak yang terlibat untuk mencari jalan penyelesaikan terhadap kemelut yang sedang melanda ini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Khairul Faizi berkata, Johor mempunyai keunikan cara pemerintahan tersendiri dan tidak boleh dinafikan Istana Johor banyak menyumbangkan kemakmuran serta kemajuan negeri ini.

"Inilah yang menyebabkan hubungan erat antara istana dan rakyat terjalin dengan baik dan harmoni selama ini," katanya.

Beliau berkata, Johor juga mempunyai Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan ia masih kekal sehingga ke hari ini.

Katanya, namun kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam blognya baru-baru ini, dilihat sebagai pandangan tanpa merujuk kepada pihak yang lebih pakar dalam bidang perundangan.

Artikel Berkaitan:

"Pandangan beliau ini sebenarnya telah mengundang kepada perbalahan dan perpecahan di kalangan rakyat yang menganggap kenyataan Dr Mahathir adalah betul dan menyalahkan pihak istana di atas kemelut yang berlaku," katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah menyarankan agar diketepikan sebarang perbezaan, perselisihan atau salah faham terutama melibatkan hubungan antara Johor dan Kerajaan Persekutuan.