Raja Muda Perlis kongsi tip belajar berkesan

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat SMK Guar Nangka 2019’ di Dewan Ibnu Khaldun, Mata Ayer, Padang Besar, di sini hari ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat SMK Guar Nangka 2019’ di Dewan Ibnu Khaldun, Mata Ayer, Padang Besar, di sini hari ini.
A
A
A

PADANG BESAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa antara tip belajar dengan berkesan adalah dengan menyegerakan ulang kali.

Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ulang kaji ringkas selepas belajar dan sekerap mungkin kerana kebiasaannya seseorang itu akan lupa 80 peratus selepas belajar.

Tambah baginda, kemahiran mengingat seperti menampal nota-nota penting, menggunakan kaedah akronim, tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah perlu dimanfaatkan.

"Selain itu, rekalah ‘cerita’ atau ayat mengenai konsep yang perlu diingati dan menjadikan nota-nota diambil itu lebih menarik dengan membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.

"Tampal maklumat yang rumit di tempat-tempat yang biasa dilihat," demikian titah Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka 2019’ di Dewan Ibnu Khaldun, Mata Ayer, di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail dan Pengetua SMK Guar Nangka, Puzirah Abd Lateh.

Turut hadir, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Artikel Berkaitan:

Baginda yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut menyarankan supaya guru-guru dijadikan sebagai sumber ilmu yang baik dengan segera bertanya apabila tidak faham tentang sesuatu perkara.

Titah baginda, pada masa yang sama buatlah persediaan awal dengan membaca terlebih dahulu apa yang ingin diajarkan oleh guru pada hari berkenaan untuk lebih mudah difahami.

Bersempena keberangkatan ke sekolah termuda di Perlis yang baru berusia lima tahun pada kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan ‘Musolla Luqman Al-Hakim’ sekolah berkenaan.

Terdahulu, seramai 224 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga sekolah mengambil bahagian dalam program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.