Nama calon KPN baharu sudah diserah kepada PM

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

PAGOH - Kementerian Dalam Negeri sudah menyerahkan nama calon Ketua Polis Negara kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa minggu lalu.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nama-nama berkenaan akan dipertimbangkan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

“Kalau dia nak buat apa-apa perubahan itu hak PM sebelum dia persembahkan pada Agong. Bila dia sudah berkenan baharulah perubahan akan dilakukan dan penggantinya akan ditentukan.

“Tak penting berapa nama. Yang mustahak saya dah bawa, itu hak PM... kami hanya bawa nama-nama dan dia timbang. Itu proses dia untuk dibawa dan diperkenankan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun ke-47 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) peringkat negeri Johor di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai calon-calon Ketua Polis Negara baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dijadual bersara wajib pada Mei depan.

Mohamad Fuzi, antara empat pegawai tertinggi PDRM yang bersara wajib secara berperingkat sejak bulan lalu.

Selain beliau, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Muhyiddin menyerahkan sebuah Proton Persona dan empat Proton Saga kepada Rela negeri Johor sebagai membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih cekap serta berkesan.

Penyerahan itu merupakan sebahagian daripada 109 buah kenderaan yang akan diberikan kepada setiap Rela negeri secara peringkat, tahun ini.

Selain itu, bagi menghargai jasa anggota-anggota Rela, Muhyiddin turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Rela (PPR) kepada dua orang penerima iaitu Penolong Pegawai Rela Daerah Kota Tinggi, Mohd Zain Abd Razak dan Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) Rela Muar, Noor Aishah Idris.