Streram tetap hargai media walaupun kalah

Streram (tengah) beramah mesra dengan pengamal media hari ini.
A
A

SEREMBAN - Meskipun tewas dalam percubaan pertama bertanding pada pilihan raya di PRK DUN Rantau 13 April lalu, namun calon PH, Dr S Streram tidak lupa menghargai pengamal media.

Peluang bekerjasama dengan pelbagai agensi media disifatkan sebagai satu pengalaman paling bermakna selain pengalaman bertanding dalam pilihan raya.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan liputan media yang diterima pada PRK lalu yang disifatkan adil untuk semua calon.

"Kalah dan menang itu perkara biasa. Kecewa itu memang ada kerana sudah berusaha keras untuk menang.

"Tapi, media juga banyak membantu dan beri liputan yang sangat baik," katanya ketika ditemui pada majlis Jamuan Makan Menghargai Media di sebuah restoran di sini, hari ini.

Selain itu katanya, beliau juga bersedia untuk bertanding sekali lagi jika diberi peluang kerana mahu berkhidmat pada rakyat.

"Sebenarnya jadi pakar bius lagi mudah berbanding jadi ahli politik kerana cabaran dan dugaannya lagi besar, sampai soal peribadi kita pun diserang.

"Tapi jika diberi peluang sekali lagi untuk bertanding, saya sedia kerana mahu berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Pada PRK DUN Rantau, Streram yang memperoleh undi 5,887 tewas dengan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memperoleh 10,397 undi.