Rezfan lahir tanpa lubang dubur

Zuraidah menunjukkan lilin yang digunakan untuk menjolok lubang dubur anaknya.
A
A

YAN - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah ungkapan tepat menggambarkan kehidupan seorang bayi Muhammad Rezfan Syauqi, 13 bulan yang mengalami masalah ketiadaan lubang dubur.

Muhammad Rezfan menderita keadaan ini sejak lahir dan turut mengalami masalah lain seperti sindrom down, jantung di bahagian kanan besar, tiroid, paru-paru dan gastrik.

Ibunya, Zuraidah Azlinda Mehad, 35, berkata, anak keempatnya itu bagaimanapun tidak banyak meragam dan hanya menangis apabila tidak sihat.

Zuraida merenung wajah anaknya, Muhammad Rezfan.
Zuraida merenung wajah anaknya, Muhammad Rezfan.

Katanya, ketika mengandungkan Rezfan, dia mengalami alahan yang sangat teruk dan kerap dimasukkan ke dalam wad.

"Dari awal mengandung sampai melahirkan, uri anak saya terbalik dan pelbagai cara dilakukan untuk betulkan kedudukan tapi tak berjaya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Mas semalam.

Menurut Zuraidah, ketika di dalam kandungan, doktor mengesahkan Rezfan mengalami masalah jantung dan saluran usus yang sempit.

"Doktor sarankan saya bersalin secara pembedahan dan Alhamdulillah selamat lahir. Tapi kami dapati Rezfan tak ada lubang dubur.

"Sehari lepas bersalin doktor buat pembedahan ke atas Rezfan untuk tebuk perut bahagian kiri dijadikan saluran pembuangan najis," katanya.

Zuraidah yang juga merupakan guru KAFA berkata, walaupun menerima bantuan bulanan sebanyak RM350 ia tidak mencukupi untuk menampung kos ulang alik ke hospital, membeli lampin pakai buang serta susu khas untuk anaknya itu.

"Satu tin susu pun RM60 dan hanya bertahan tiga hingga empat hari. Lampin pula kerap digunakan termasuk untuk tutup saluran najis yang ditebuk di bahagian perut untuk elakkan jangkitan kuman," katanya.

Kesemua jenis ubat yang perlu dimakan oleh Muhammad Rezfan.
Kesemua jenis ubat yang perlu dimakan oleh Muhammad Rezfan.

Zuraida berkata, setiap kali dia keluar bekerja, suaminya Muhammad Fadzli Mohamad Radzuan, 35, akan menjaga Rezfan.

"Suami dulu makan gaji, tapi lepas saya bersalin dia terpaksa berhenti untuk uruskan anak-anak lain yang masih sekolah.

"Sekarang ni dia ada berniaga sedikit depan rumah jual air dan sebagainya, bolehlah sehari dapat RM20 hingga RM30," katanya.

Penglihatan Muhamad Rezfan juga kabur apabila terpaksa memakai cermin mata berkuasa 700.

Januari lalu lalu Muhamad Rezfan menjalani pembedahan menebuk lubang dubur, namun begitu lubang berkenaan masih belum boleh digunakan.

Menurut Zuraidah, setiap hari dia perlu menjolok lubang dubur anaknya itu menggunakan lilin bagi membolehkan laluan najis dapat dibentuk dengan baik.

"Sehari saya perlu guna lilin jolok ke dalam lubang dubur sebanyak empat kali. Dua kali pada waktu pagi dan dua kali pada waktu petang.

Zuraidah memberikan susu kepada Rezfan menggunakan tiub.
Zuraidah memberikan susu kepada Rezfan menggunakan tiub.

"Insya-ALLAH selepas lubang dubur ini dapat beroperasi dengan baik saluran usus di perut kiri akan ditutup.

"Cuma saya rasa ia memakan masa yang agak lama sebab sekarang ni lubang duburnya masih lagi kecil dan perlu dijolok sentiasa," katanya.

Ditanya bagaimana perasaan Zuraidah sebagai seorang ibu apabila perlu melakukan semua itu ke atas anaknya, dia mengakui sangat sedih.

"Sedih memang sedih sebab anak saya akan menangis dengan kuat setiap kali lilin masuk ke dalam lubang, yalah mana tak sakit dia kan bayi lagi," katanya.

Menurut Zuraidah, anaknya itu juga perlu menjalani pembedahan jantung dalam masa terdekat.

"Dulu doktor kata tunggu berat dia lapan hingga 10 kg untuk buat pembedahan ni, dan sekarang berat dia dah capai sasaran cuma tunggu doktor sajalah," katanya.

Menurut Zauraida, anaknya yang memiliki kad orang kurang upaya (OKU) itu mendapat wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350.

Kad OKU milik Muhammad Rezfan.
Kad OKU milik Muhammad Rezfan.

Kos perbelanjaan Rezfan mencecah seribu ringgit setiap bulan kerana susu yang diminumnya berharga RM60 dan hanya bertahan untuk tempoh empat hari.

"Anak saya juga perlu ke hospital setiap minggu untuk mendapatkan ubat bagi masalah gastrik," katanya