Tok siak rakam gambar pencuri tabung masjid

Mohd Arif (kiri) dan Baharuddin menunjukkan tabung masjid yang menjadi sasaran pencuri berkenaan.
Mohd Arif (kiri) dan Baharuddin menunjukkan tabung masjid yang menjadi sasaran pencuri berkenaan.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Seorang lelaki membenarkan gambarnya dirakam tok siak selepas mencuri duit daripada dua tabung masjid di Masjid As-Siraj, Kampung Batu 23, Sungai Nibong, di sini, kelmarin.

Siak Masjid As-Siraj, Mohd Arif Saroji berkata, lelaki itu ditemuinya kira-kira jam 11 pagi ketika menjalankan kerja pembersihan di pekarangan masjid berkenaan.

"Saya nampak dia lain macam dan bila ditanya, dia kata nak pergi tandas masjid dan dalam perjalanan ke Kuala Selangor.

"Saya rasa pelik dan terus minta kebenaran ambil gambar dia dan motosikal, sebelum dia keluar masjid dalam keadaan tergesa-gesa," katanya.

Mohd Arif berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditunjukkan ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

"Saya tak sangka gambar yang saya rakam dalam telefon bimbit sama dengan imej lelaki dalam CCTV masjid ini.

"Setelah tengok betul-betul, memang lelaki itu yang mencuri wang tabung masjid. Dia berselindung di sebalik pakaian kemas dan macam tak buat apa-apa salah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tok siak sempat merakam gambar lelaki yang menjalankan kegiatan curi wang tabung masjid itu.
Tok siak sempat merakam gambar lelaki yang menjalankan kegiatan curi wang tabung masjid itu.

Menurutnya, berdasarkan CCTV itu, lelaki terbabit dipercayai meletakkan motosikalnya di pekarangan masjid dan kemudiannya berjalan masuk ke ruang solat wanita.

"Dia guna lidi penyapu dan gula-gula getah untuk kait duit di dua tabung di ruang wanita dan tempat solat lelaki," katanya.

Sementara itu, penasihat masjid, Baharuddin Ahmad berkata, kejadian itu bukan kali pertama berlaku di masjid itu.

"Sudah tiga kes berlaku tahun ini. Walaupun duit yang dicuri hanya puluhan ringgit, saya berdoa dia insaf kerana mencuri dalam rumah ALLAH," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berkenaan kejadian itu dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, perbuatan lelaki mencuri duit tabung masjid itu tular di media sosial Facebook.

Rakaman berdurasi dua minit 50 saat itu menunjukkan lelaki terbabit memakai baju kemeja lengan panjang berwarna biru dan berseluar jeans.

#sabakbernam Tular lelaki curi duit masjid MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR SUNGAI BESAR - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan mencurigakan seorang lelaki dipercayai cuba mencuri di Masjid As-Siraj, Kampung Batu 23 Sungai Nibong, di sini, tular di Facebook kelmarin. Artikel berkaitan: https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/25401

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Sunday, April 28, 2019