Tun M hadir Majlis Perasmian Forum Jalur dan Laluan di China

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa Kedua yang berlangsung hari ini dan esok di Pusat Konvensyen Kebangsaan China. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa Kedua yang berlangsung hari ini dan esok di Pusat Konvensyen Kebangsaan China. - Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir hari ini hadir bersama-sama 37 pemimpin dari seluruh dunia dan 5,000 perwakilan dari 150 negara pada majlis perasmian Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa Ke-2.

Perasmiannya disempurnakan Presiden China Xi Jinping di Pusat Persidangan Kebangsaan China (CNCC).

Xi, yang mencetuskan cadangan dasar infrastruktur itu enam tahun lepas bagi tujuan menghidupkan semula Laluan Sutera yang pada zaman dahulu menghubungkan Asia dengan bahagian lain dunia, menerusi pembinaan landasan kereta api, lapangan terbang dan saluran paip, turut menyampaikan ucaptama pada majlis itu.

Dalam ucapannya, Xi menggesa negara-negara yang mengambil bahagian supaya meneruskan pelaksanaan inisiatif berkenaan bagi mencapai pembangunan bermutu tinggi.

Beliau juga berkata projek-projek Jalur dan Laluan harus mempertahankan prinsip perkongsian manfaat dan menyumbang bersama.

“Kerjasama Jalur dan Laluan: Membentuk Masa Depan Bersama yang Lebih Cerah” menjadi tema borum itu.

Dr Mahathir, yang turut dijangka berucap pada satu daripada beberapa sesi forum itu, tiba di Beijing pada Rabu untuk melakukan lawatan rasmi lima hari dengan jadual lawatan padat, selain menghadiri forum berkenaan.

Selepas melawat Pusat Penyelidikan Huawei semalam, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan yang berhasil dengan Xi di The Great Hall of People, Perdana Menteri Li Keqiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Kebangsaan Li Zhanshu.

Artikel Berkaitan:

Pertemuan dengan ketiga-tiga pemimpin tertinggi China yang berlangsung dalam satu hari itu lebih menggambarkan lagi hubungan dua hala yang istimewa antara kedua-dua negara.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Beijing sibuk menerima kedatangan beberapa pemimpin dunia dan wakil-wakil pertubuhan antarabangsa yang berminat untuk mengambil bahagian dalam inisiatif infrastruktur tersebut bagi menghubungkan China dengan bahagian dunia yang lain.

Turut hadir pada perasmian hari ini ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Gutierrez dan Pengarah Urusan dan Pengerusi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde.

Inisiatif Jalur dan Laluan merupakan inisiatif utama China untuk mempertingkatkan pembangunan infrastruktur, memudahkan aliran barangan dan modal selain menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang dengan negara-negara yang mengambil bahagian.

Walaupun banyak menerima kritikan bahawa inisiatif infrastruktur itu tiada ketelusan dalam proses pelaksanaannya selain dituduh sebagai menjadi “perangkap hutang” bagi negara-negara yang mengambil bahagian dalam pembinaan projek-projek mahal itu, tetapi para penyokong inisiatif itu berpandangan sebaliknya.

Duta China ke Malaysia Bai Tian menerusi pandangannya yang disiarkan baru-baru ini oleh media tempatan sebelum lawatan Dr Mahathir ke Beijing berkata Inisiatif Jalur dan Laluan menggalakkan pembangunan dengan semua negara dengan 124 megara dan 29 pertubuhan antarabangsa telah menjadi rakan perkongsian kepada projek itu.

Beliau berkata jumlah dagangan dengan negara-negara yang telah menandatangani perjanjian pelaksanaannya telah mencecah US$6 trilion. Duta itu turut memberitahu, pelaburan langsung China di negara-negara yang mengambil bahagian itu telah melebihi US$80 bilion dan mewujudkan 20,000 pekerjaan dalam ekonomi tempatan.

China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak sedekad lepas dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara tahun lepas meningkat 8 peratus ke RM313 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Malaysia adalah rakan dagangan terbesar China dalam kalangan negara-negara ASEAN. - Bernama