Polis tahan dua suspek utama kes buang bayi

Bayi yang ditemui ditinggalkan di belakang Masjid Lama Ara Kuda, Tasek Gelugor, Selasa lalu.
Bayi yang ditemui ditinggalkan di belakang Masjid Lama Ara Kuda, Tasek Gelugor, Selasa lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis telah menahan dua suspek utama kes pembuangan bayi di sebuah masjid di Ara Kuda, Tasek Gelugor pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pasangan berusia 28 tahun yang merupakan ibu bapa bayi perempuan berkenaan ditahan di Hospital Kulim, Kedah, kira-kira jam 3.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Bagaimanapun menurutnya mereka tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah.

Noorzainy berkata, hasil soal siasat awal polis mendapati suspek perempuan mengaku melahirkan bayi perempuan tersebut di rumah ibunya di Kulim sebelum dibuang di Masjid di Ara Kuda, Tasek Gelugor, di sini.

"Suspek juga mengaku merahsiakan kandungan dari pengetahuan ibunya sehingga melahirkan bayi tersebut.

"Dia juga memberitahu polis telah mengenali teman lelakinya melalui media sosial dan telah menjalinkan hubungan intim lebih dari setahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang bayi perempuan ditemui dipercayai ditinggalkan di belakang Masjid Lama Ara Kuda, di sini tengah hari Selasa lalu.

Saksi, Ahmad Abdullah, 59, berkata, ketika dia bersama jemaah lain sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Zuhur, anak jirannya yang juga orang kurang upaya (OKU) memberitahu bahawa ada bayi di dalam kotak.

Artikel Berkaitan:

Tidak sampai 24 jam kes penemuan bayi berkenaan, polis berjaya menahan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes pembuangan bayi di Masjid Lama Ara Kuda, di sini tengah hari semalam.

Suspek berusia 57 tahun yang juga nenek kepada bayi itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara (SPU) di hadapan Balai Polis Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah awal pagi Rabu.

Sementara itu Noorzainy berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek lelaki yang merupakan bapa kepada bayi berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau atas kesalahan buang negeri.

Katanya, kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Butterworth di sini untuk mendapatkan perintah reman dan mereka kini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.