Arahan pertukaran pegawai, anggota STAGG, STAFOC sudah dikeluarkan

Mohamad Fuzi Harun
A
A

GOMBAK - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses penstrukturan semula pegawai serta anggota Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangesterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga kini kira-kira 60 peratus arahan pertukaran kepada pegawai serta anggota sudah dikeluarkan secara berperingkat.

"Tiga pasukan khas PDRM ini bagaimanapun belum lagi dibubarkan sepenuhnya, tetapi proses ini sedang berjalan.

"Kita tak boleh bubar sembarangan kerana ia perlukan waran untuk penstrukturan semula. Sebanyak 60 peratus arahan pertukaran telah dikeluarkan buat masa ini dan proses ini akan selesai dalam tempoh beberapa bulan," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis Ke-212, di Hospital Selayang di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, Pengarah Pengurusan, Datuk Abd Rahim Jaafar, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Noormi Othman dan Timbalan Pengarah (Perubatan 1) Hospital Selayang, Dr Tengku Intan Norleen Tengku Shariff.

Jun tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan tiga pasukan khas PDRM itu akan dimansuhkan susulan penstrukturan beberapa jabatan dalam PDRM.

Katanya, pembubaran serta penstrukturan semula itu bagi membolehkan PDRM dipandang tinggi oleh masyarakat.

STAFOC dan STING mula beroperasi pada awal 2014 manakala pasukan STAGG pada penghujung tahun yang sama.

Penstrukturan itu akan membabitkan kira-kira 600 pegawai serta anggota dalam pasukan khas berkenaan.