Bekalan air di tiga daerah kini pulih

Abdul Raof Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air di daerah Gombak, Kuala Selangor dan Kuala Langat pulih sepenuhnya sejak jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, bekalan air di kawasan tersebut dijadual pulih pada jam 11 pagi namun lebih awal dari yang dijangkakan.

Menurutnya,bekalan air di kebanyakan kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja penambahbaikan sistem di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pulih dengan peratusan pemulihan keseluruhan berada di tahap 93 peratus.

“Empat lagi daerah masing-masing Kuala Lumpur berada pada tahap 89 peratus pemulihan, Petaling (98 peratus) manakala Klang dan Shah Alam pada tahap 91 peratus.

“Bantuan lori tangki air masih digerakkan ke kawasan belum pulih dan segala tindakan perlu diambil bagi menstabilkan tekanan serta pemulihan terutama di kawasan premis berada di lokasi tinggi serta di penghujung sistem agihan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat khususnya pelanggan yang memberi kerjasama dalam usaha meningkatkan perkhidmatan bekalan air.

Pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pelanggan sepanjang tempoh gangguan berjadual dan mengambil perhatian atas segala maklum balas diberikan.

“Pihak kami komited untuk memberi mutu perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Pengguna boleh muat turun aplikasi telefon bimbit air selangor di Google play atau Appstore untuk info bekalan air dan maklumat terkini atau layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook "Air Selangor", Twitter @air_selangor,” katanya.

Pelanggan juga boleh menghubungi talian 15300 atau Whatsapp ke talian 019281 6793 dan 019280 0919.

Terdahulu, 4,143,645 pengguna di 577 kawasan dilapor terlibat dengan gangguan bekalan air yang mengambil masa kira-kira 86 jam sejak 24 April lalu.

Gangguan bekalan air melibatkan kawasan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia