Polis patahkan sindiket seludup syabu

Shamsul Amar (dua dari kiri dan Rahmat (kiri) menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah hotel bajet di kawasan Pelabuhan Klang, Rabu lalu.
Shamsul Amar (dua dari kiri dan Rahmat (kiri) menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah hotel bajet di kawasan Pelabuhan Klang, Rabu lalu.
A
A
A

KLANG - Taktik sindiket penyeludupan dadah menggunakan paket teh Cina untuk membungkus syabu sebelum diseludup keluar ke Indonesia berjaya dipatahkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dalam satu serbuan Rabu lalu.

Dalam serbuan itu, syabu seberat 8.23 kilogram dianggarkan bernilai RM576,000 berjaya dirampas di sebuah hotel bajet di Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam operasi itu seorang lelaki warga Indonesia turut ditahan.

“Bertindak atas maklumat risikan, kita berjaya membongkar aktiviti sindiket penyeludupan dadah selepas menyerbu sebuah hotel bajet di kawasan Pelabuhan Klang.

“Hasil serbuan, kita menemukan lapan bungkusan syabu yang dibungkus menggunakan paket teh Cina ‘Guanyinwang’ seberat 8.23 kg di dalam bilik lelaki berusia 33 tahun itu.

“Nilai dadah dianggarkan RM576,000 dan turut dirampas wang tunai RM300,” katanya pada sidang media di Astaka Dato’ Abu Samah IPD Klang Selatan, pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis IPD Klang Selatan, Superintendan Rahmat Ariffin.

Menurut beliau, hotel bajet berkenaan dipercayai digunakan sebagai transit sementara sebelum pulang ke Indonesia.

Artikel Berkaitan:

“Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan datang ke sini pada Khamis lalu untuk tinggal dalam tempoh seminggu.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan direman sehingga 30 April ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Tambah Shamsul Amar, pihaknya percaya modus operandi menggunakan bungkusan teh Cina itu bagi mengelak aktiviti sindiket penyeludupan itu dikesan pihak berkuasa.

“Hasil maklumat lanjut kita percaya dadah tersebut akan diseludup ke Indonesia untuk pasaran di negara berkenaan berikutan dadah jenis syabu mendapat permintaan tinggi di sana.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut bagaimana dadah ini dibawa masuk atau ke luar di negara ini,” katanya.