Sri Lanka dan Christchurch - kegagalan PBB

A
A
A

ANTARA 15 Mac hingga 21 April 2019, dua serangan ganas mengejutkan dunia terjadi. Lebih 50 orang terbunuh di dua buah masjid ketika mangsa hendak solat Jumaat di Christchurch, New Zealand dan lebih 350 lagi pada Hari Easter di tiga gereja dan tiga hotel mewah di Sri Lanka.

Sementara simpati dan kecaman mencurah-curah disampaikan untuk mangsa, ada analisis mendalam perlu dilakukan, apa punca tindakan barbarisme ini berlaku.

Punca keganasan yang mengerikan itu akan menentukan bagaimana gejala ekstremis agama dapat diatasi. Sememangnya pelaku jahat seperti itu mesti dihukum dan semua yang terlibat dalam perancangannya mesti dijejaki dan dibawa ke muka pengadilan.

Namun sebab musababnya perlu diperhatikan dengan jujur. Tidak cukup hanya terus menuding jari kepada mereka yang digelar pengganas.

Kini terdapat peranan agensi perisikan dari negara-negara tertentu, yang mempromosikan konflik antara agama untuk mengalihkan perhatian daripada pencabulan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, yang berlaku mesti diselidiki dan didedahkan dengan terperinci.

Salah satu sebab keganasan berlaku dalam dua dekad yang lalu adalah kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan mandat piagamnya yang gagal mengambil tindakan terhadap negara-negara yang melakukan pelanggaran hak asasi manusia, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

PBB menjadi alat kepada lima negara yang memiliki kuasa veto, khususnya Amerika Syarikat. Tindakan selektif oleh Majlis Keselamatan PBB terhadap negara yang melanggar ketetapannya telah menjejaskan keyakinan rakyat awam terhadap PBB.

Rakyat yang menjadi mangsa tidak mendapat perlindungan hak-hak mereka oleh PBB. Akibatnya ada yang menggunakan cara sendiri, termasuk keganasan dalam menentang ketidakadilan ke atas mereka.

Artikel Berkaitan:

Keganasan negara teroris juga bertanggungjawab terhadap berkembangnya keganasan individu dan kumpulan. Di Afghanistan, beribu-ribu orang awam dibunuh melalui serangan dron. Di Myanmar, genosid dan penghapusan etnik Rohingya terus berlaku. Warga Kashmir di India terus menjadi mangsa oleh tentera India.

Di Gaza, rakyat Palestin berdemonstrasi secara damai di sempadan dengan Israel, menuntut hak mereka untuk kembali ke tanah air dan rumah asal. Namun mereka ditembak dan terbunuh, termasuk kanak-kanak, wanita, dan petugas perubatan. Mereka tidak mempunyai saluran untuk mendapatkan keadilan dan ini memaksa mereka untuk melakukan keganasan membalas dendam.

Tindakan oleh Amerika Syarikat untuk membawa perubahan rejim - di Iran dan Venezuela - yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa dan sokongan Amerika Syarikat terhadap kediktatoran serta penguasa mutlak di Asia Barat, yang menindas rakyat mereka sendiri dan menyokong pemerintahan tentera, telah menimbulkan tindak balas ganas untuk membetulkan ketidakadilan.

Penyebaran ketakutan dan kebencian terhadap pendatang, khususnya umat Islam oleh pentadbiran Trump dan beberapa kerajaan Eropah serta media mereka telah membawa kepada tercetus dan berkembangnya keganasan “supremasi kulit putih”.

Pembunuhan kejam di New Zealand oleh supremacist kulit putih memperlihatkan berbahayanya mempromosikan budaya ketakutan dan kebencian kepada orang lain.

Gejala Islamofobia (menakut-nakutkan orang ramai terhadap Islam) bukan lagi agenda di pinggiran, tetapi di tengah-tengah polisi beberapa kerajaan Barat. Penasihat Keselamatan Nasional Trump, John Bolton, pernah memberi amaran tentang pengambilalihan “jihadis” di Eropah yang membawa kepada “Kematian Besar Kaum Kulit Putih”.

Trump, semasa kempen pilihan raya menarik fikiran pengundi Zionis Kristiannya, menyatakan, “Saya fikir Islam membenci kita.”

Sepatutnya PBB mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu keganasan, termasuk keganasan negara dan merangka pelan komprehensif untuk menentangnya. Namun jelas PBB menjadi alat kepada kuasa besar.

Setakat ini puluhan resolusi diisytiharkan oleh PBB terhadap keganasan Israel, akan tetapi tidak ada satu pun yang dikuatkuasakan.

Peristiwa Christchurch dan Sri Lanka adalah tragedi yang akan berulang selagi PBB, membiarkan dirinya jadi alat kepada kuasa besar.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu