Pengharaman khalwat cegah zina

A
A
A

KHALWAT di sisi masyarakat Melayu ialah perbuatan berada di tempat yang sunyi, tertutup, bagi pasangan lelaki dan perempuan yang belum bernikah dan menimbulkan syak melakukan perkara yang sumbang.

Di sisi syarak pula ia adalah perbuatan berdua-duaan yang tidak bermoral dan mukadimah atau permulaan bagi jenayah zina (persetubuhan antara lelaki dan perempuan secara haram dan tanpa ikatan perkahwinan yang sah).

Segala aktiviti atau perbuatan yang menuju ke arah zina adalah haram dan dilarang. Ini dinyatakan secara jelas dalam ayat 32 surah Al Isra’: “Jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." Kaedah usul fiqh menyebutkan, setiap larangan membawa erti haram (jika dilakukan).

Penguatkuasaan kesalahan khalwat datang daripada asas pengharaman jenayah zina. Pengharaman zina amat jelas di sisi syarak dan ini dijelaskan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran dengan memperuntukkan hukuman yang berat.

Jika dilihat dari aspek maqasid syariah atau objektif syarak yang utama, jenayah zina adalah salah satu pencabulan ke atasnya kerana mencabuli pemeliharaan keturunan yang mengakibatkan percampuran nasab atau merosakkan keturunan.

Bahkan ia mengundang gejala sosial yang lebih ketara jika tidak ditangani di peringkat awal iaitu khalwat.

Jika disorot dari aspek perundangan pula, zina merupakan jenayah bagi undang-undang Perancis kerana ia mencabuli maruah seseorang namun ia tidak dianggap satu jenayah dalam undang-undang Inggeris kerana dilakukan secara sukarela dan hanya dianggap masalah moral. Berdasarkan asas ini, undang-undang berasaskan Inggeris tidak memandang zina sebagai satu kesalahan jenayah dan elemen pencegahan juga tidak dilihat perlu.

Berdasarkan pandangan ini penguatkuasaan khalwat mungkin perlu dimansuhkan. Namun, kita tidak boleh terlepas pandang, asas perundangan Malaysia bukan sahaja berasaskan undang-undang Inggeris.

Artikel Berkaitan:

Malaysia mengamalkan dwi sistem perundangan di mana syariah Islam juga menjadi asas perundangan dalam enakmen jenayah syariah yang dikuatkuasakan oleh negeri-negeri.

Ini diperuntukkan dengan jelas melalui Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada mahkamah syariah melaksanakan bidang kuasanya termasuk jenayah syariah terpilih.

Di Mesir, jenayah zina diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan mereka sama seperti undang-undang Perancis yang boleh dipenjara hingga dua tahun jika sabit kesalahan. Bahkan, menurut kanun keseksaan mereka, suami boleh terlepas daripada hukuman mati jika suami membunuh isteri yang didapati sedang melakukan zina.

Adakah kumpulan golongan liberal bersetuju jika penguatkuasaan khalwat dimansuhkan, diganti dengan undang-undang serupa yang lebih keras seperti di Mesir untuk dilaksanakan di Malaysia?

Sudah pasti ia tidak akan diterima sama sekali kerana elemen pencegahan atau mukadimah zina pun disaran agar dimansuhkan apa lagi meletakkan jenayah zina dalam kanun keseksaan.

Peruntukan undang-undang yang tegas itu tidak lain tidak bukan ia berperanan sebagai elemen pencegahan dari jenayah yang lebih besar dan gejala sosial lain. Bezanya, Malaysia menguatkuasakan elemen pencegahan lebih awal dengan penguatkuasaan kesalahan khalwat.

Hari ini kita sering didedahkan dengan gejala sosial seperti pembuangan bayi yang semakin meruncing. Pusat-pusat kebajikan pula dikatakan perlu berperanan menjaga ibu mengandung yang tidak bersuami dan anak tidak berbapa. Adakah tidak perlu sebarang elemen pencegahan pada saat semua ini sedang hangat dibahas dan dibincangkan?

Penguatkuasaan khalwat bukan dilakukan sembarangan, sebaliknya dilaksanakan melalui standard operasi yang memenuhi piawaian yang ditetapkan. Tindakan juga dilakukan berdasarkan laporan dan bukan dilakukan sewenang-wenangnya.

Oleh yang demikian, penguatkuasaannya tidak boleh dilihat sebagai tajassus atau mencari-cari kesalahan umat Islam yang lain seperti yang terkandung dalam Ihya Ulum Ad Din.

Apa yang sepatutnya dilihat adalah dari aspek sadd al zaraai atau menghalang jalan yang menuju ke arah jenayah atau sesuatu kesalahan yang jelas.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia