Saifuddin tepis dakwaan kerajaan sepenggal

Saifuddin Nasution pada sidang media di Putrajaya, semalam. FOTO: Sharifuddin Abdul Rahim
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menangkis dakwaan Pakatan Harapan (PH) hanya menjadi kerajaan sepenggal berdasarkan kegagalan menunaikan manifesto PRU14.

Beliau menjelaskan, meskipun PH didakwa kurang membela Melayu dan Islam, hakikatnya kerajaan bertungkus-lumus menyelamatkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda.

Malah, katanya, PH kini dalam kerangka melunaskan satu-persatu janji manifesto PRU14.

“Kami mungkin dianggap ‘cair’ dari segi membantu Melayu dan Islam tapi kami dapat selamatkan institusi Islam iaitu TH dan Felda.

“Pihak yang melingkupkan kini dijulang sebagai pejuang agama dan bangsa. Ini paradoks,” katanya di kementeriannya di Putrajaya semalam.

Setiausaha Agung PKR itu berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan PH hanya akan bertahan sepenggal memandangkan kerajaan gagal menunaikan semua manifesto PH.

Beliau juga menjelaskan, buat masa ini PH menggariskan tiga hala tuju pelaksanaan manifesto iaitu telah ditunaikan, sedang diusahakan dan belum disentuh.

“Saya jujur mengaku ada tiga bakul dalam soal pelaksanaan janji manifesto. Bakul pertama mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru separuh ditunaikan iaitu berjaya keluarkan senarai hitam dan sebahagian lagi penetapan gaji RM4,000 baru mula bayar hutang pinjaman, ini belum.

“Janji hapuskan hutang peneroka Felda tapi buat masa ini, kami berjaya hapuskan faedah hutang peneroka sebanyak RM2 bilion, terima kasih (Datuk Seri) Najib Razak, (Tan Sri) Isa Samad dan (Tan Sri) Shahrir Samad. Sebab ketika Tan Sri Yusuf Noor meninggalkan Felda, tabung institusi itu berjumlah RM8 bilion tapi sekarang Felda terpaksa diselamatkan,“ katanya.

Untuk segmen belum diusik seperti berkaitan tol katanya, ia masih di peringkat percubaan dan belum jelas.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu menyerahkan kepada rakyat untuk menilai gerak kerja yang dilakukan PH dalam tempoh setahun ini.

“Jujurnya kalau ada tanggapan kata kami rapuh, hanya sepenggal, yang ini negara kita subur demokrasi, rakyat dan siapa pun berhak bagi pandangan.

“PH ini utuh pada asasnya, kami ada struktur kepimpinan yang jelas malah sentiasa bergerak ke depan,” jelasnya.Pencapaian Kementerian KPDNHEP

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution

Kejayaan



1. Program Food Bank Malaysia

Mengurangkan kos sara hidup

Melahirkan sukarelawan yang memberi sokongan tanpa imbuhan

Membantu golongan yang sangat memerlukan

Mengurangkan nilai pembaziran

2. Subsidi bersasar RON 95

Terhad kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)

Bakal dilaksanakan dalam tahun ini

3. Analisis rantaian bekalan makanan

Bantu kementerian untuk mengetahui harga akhir sebelum sampai ke pengguna

Membuat analisis berkenaan elemen yang menyebabkan harga barang mahal

DALAM PERANCANGAN

1. E-Dagang

Memperluaskan pasaran produk

Manfaatkan kegunaan teknologi masa kini

2. Pengguna celik maklumat

Aspek pendidikan pengguna masih belum dapat dilaksana secara menyeluruh

Memantapkan segmen dekati pengguna

3. Skim subsidi harga barang

Agihan kepada golongan sasar terutama B40

Kekangan dana dan bajet daripada kerajaan


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia