Terumbu karang makin diancam

Peserta program Songsong Reef Care siri 1 tahun 2019 bergambar bersama di Pulau Songsong.
A
A

YAN - Terumbu karang merupakan salah satu ekosistem yang terdapat di dalam lautan yang berfungsi sebagai habitat pembiakan kepada hidupan marin.

Ketua Unit Pelancongan Majlis Daerah Yan, Abdul Razak Abd Majid berkata, namun begitu ekosistem terumbu karang ini sentiasa diancam.

Menurutnya, antaranya adalah ancaman semula jadi yang terdiri daripada serangan penyakit pemangsa dan ancaman antropogenik yang terdiri daripada pencemaran aktiviti pembangunan yang tidak terkawal peningkatan suhu dan pelbagai lagi.

"Sehubungan itu, program Songsong Reef Care siri 1 tahun 2019 telah dianjurkan oleh Bahagian Taman Laut, Jabatan Perikanan Kedah dengan kerjasama Majlis Daerah Yan, Pejabat Daerah Yan, dan Persatuan Nelayan Kawasan Yan," katanya.

Peserta program menanam batu yang diikat tali supaya pontun tidak dihanyutkan.
Peserta program menanam batu yang diikat tali supaya pontun tidak dihanyutkan.

Menurut Abdul Razak, program ini bertujuan berkongsi pengetahuan dalam program pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem terumbu karang.

"Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi perkongsian pengetahuan berkenaan pemeliharaan dan pemuliharaan terumbu karang, aktiviti gotong-royong, pemasangan Jeti Pontun dan aktiviti pembersihan pantai," katanya.