Johor tubuh Majlis Halal Negeri

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan merasmikan program berkenaan.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan merasmikan program berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penubuhan Majlis Halal Negeri Johor diyakini mampu bertindak sebagai ejen dalam melancarkan sebarang urus tadbir dan proses persijilan halal bagi produk dan industri di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, badan yang ditubuhkan pada 20 Mac lalu itu juga bertujuan merangka dasar berkaitan persijilan halal di negeri ini, sekali gus membolehkan semua industri mampu memiliki pengesahan Sijil Halal Malaysia yang diiktiraf.

“Kerajaan negeri menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan baginda terhadap penubuhan Majlis Halal Negeri Johor di bawah Majlis Agama Islam negeri.

“Sesungguhnya kerajaan negeri turut mengalu-alukan semua industri agar mendapatkan sijil halal bagi memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan atau produk yang terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Multaqa Ulama Darul Ta’zim kali ke-7 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada semalam.

Turut berangkat sebagai wakil rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk menyempurnakan majlis berkenaan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Exco Agama Islam, Pembangunan dan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi.

Pada majlis itu, Sahruddin memohon semua pihak supaya menjadikan masjid di negeri itu sebagai sebuah institusi berkesan dalam konteks memperkasa akidah masyarakat Islam.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai umat Islam kita perlu mempunyai keazaman dan niat untuk memakmurkan masjid dengan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.

“Kepimpinan masjid perlulah merancang, mengatur program dan aktiviti yang mampu membangun pemikiran dan akidah dengan betul,” katanya.

Justeru katanya lagi, kepelbagaian aktiviti serta tarikan di masjid dilihat mampu mengalu-alukan lebih ramai umat Islam memakmurkan rumah ibadah tersebut.