Bayaran permit pendaki ditangguhkan

Jimmy Puah ( dua dari kiri) melihat notis berkenaan permit kemasukan Hutan Lipur Gunung Pulai 1 melebihi aras 1 ditanggalkan oleh Nazib (dua dari kanan).
Jimmy Puah ( dua dari kiri) melihat notis berkenaan permit kemasukan Hutan Lipur Gunung Pulai 1 melebihi aras 1 ditanggalkan oleh Nazib (dua dari kanan).
A
A
A

KULAI - Bayaran permit masuk ke kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai 1 yang sepatutnya dikenakan ke atas kumpulan pada 1 Mei depan ditangguhkan sementara waktu.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya sedang mencari pendekatan lain bagi memudahkan pengunjung memandangkan permit masuk perlu diuruskan di Jabatan Perhutanan.

Wee Tse berkata, pembayaran secara terus di kaunter Gunung Pulai 1 sebelum pendaki memulakan aktiviti adalah antara pendekatan yang dicadangkan.

“Isunya bukan duit tetapi nak memudahkan pendaki kerana permohonan permit dilakukan sebelum ini memerlukan mereka ke Jabatan Perhutanan negeri.

“Bayaran yang dikenakan pula mungkin berbeza mengikut status warganegara dan bukan warganegara,”katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, bayaran minimum sebanyak RM150 dikenakan kepada kumpulan pendaki yang mempunyai ahli seramai 15 orang atau ke bawah jika mendaki melebihi aras satu Hutan Lipur Gunung Pulai 1.

Sementara itu, Penguasa Hutan Lipur Gunung Pulai 1, Nazib Ali berkata, aras 1 Gunung Pulai sesuai untuk riadah seperti berjoging, berjalan dan mandi-manda manakala aktiviti pendakian pula sesuai dilakukan selepas aras 1 pada ketinggian 100 meter.

“Gunung Pulai 1 seluas 1,000 hektar. Terdapat kawasan tadahan air berdekatan Gunung Pulai iaitu di Ulu Choh. Keluasan kedua-dua kawasan mencecah 3,000 hektar. “ Pengunjung perlu menjaga keselamatan dan patuhi arahan laluan yang ditetapkan bagi mengelak mereka sesat,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Hutan Lipur Gunung Pulai 1 dibuka kepada orang ramai bermula jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari dan ditutup pada hari Isnin bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.

Tambahnya, antara kemudahan yang terdapat di aras 1 ialah sebuah wakaf, surau dan tandas.