Kumpulan penjenayah kuasai kem pelarian Rohingya di Bangladesh

Keadaan kem pelarian Rohingya yang penuh sesak di Cox's Bazar
Keadaan kem pelarian Rohingya yang penuh sesak di Cox's Bazar
A
A
A

DHAKA - BANGLADESH. Kumpulan penjenayah dan militan kini cuba menguasai kem pelarian Rohingya di Bangladesh dengan melakukan pembunuhan dan penculikan dengan sewenangnya, kata Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) dalam satu laporan semalam.

Kira-kira 740,000 etnik Rohingya meninggalkan Myanmar ke Bangladesh selepas menjadi sasaran keganasan pihak tentera pada Ogos 2017, menyertai pelarian lain di kem berkenaan yang turut melarikan diri daripada keganasan.

Kumpulan penyelidikan konflik antarabangsa itu meminta Bangladesh untuk meningkatkan kehadiran polis, menyatakan kumpulan penjenayah dan ekstremis kini beroperasi secara terbuka di kem berkenaan.

Ancaman daripada ekstremis menyebabkan pemimpin Rohingya bimbang dengan keselamatan mereka berikutan kerap kali berlaku kes bunuh yang “jarang” disiasat, tambahnya.

“Kumpulan pelarian ini menyatakan kebimbangan berhubung keselamatan mereka berikutan ancaman dari kumpulan militan dan penjenayah yang menculik dan membunuh dengan sewenang-wenangnya,” menurut laporan ICG.

“Pembunuhan dan bentuk keganasan lain berlaku hampir setiap malam..pelakunya hampir tidak pernah dibawa ke muka pengadilan.”

Kumpulan itu berkata, pemimpin masyarakat Rohingya menerima ancaman bunuh daripada ARSA, dan bimbang dengan keselamatan mereka.

ASRA merujuk kepada Arakan Rohingya Salvation Army.

Artikel Berkaitan:

ARSA dipersalahkan berhubung serangan ke atas pasukan keselamatan Myanmar sejak beberapa tahun lalu, termasuk serangan yang mencetuskan tindakan ketenteraan pada 2017.

Polis Bangladesh berkata, pihaknya telah mewujudkan tujuh pondok kawalan polis baharu, dan penempatan anggota polis bersenjata serta menambah baik risikan untuk meningkatkan keselamatan.

“Laporan itu dibesar-besarkan tetapi ia bukan tidak berasas. Keganasan sebenar di kem-kem telah meningkat,” kata jurucakap polis daerah Cox’s Bazar Iqbal Hossain kepada AFP.

Kira-kira 60 Rohingya telah terbunuh di kem-kem sejak pelarian masuk pada 2017, kata Hossain.

Beliau menafikan penglibatan ARSA dan berkata kebanyakan kes adalah kerana perebutan kuasa dalam kalangan kumpulan Rohingya itu sendiri. – AFP