Pemegang akaun boleh dipertanggungjawabkan untuk semua transaksi

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus cawangan Ambank Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa seorang pemegang akaun bertanggungjawab ke atas semua transaksi dalam akaunnya.

R.Uma Devi berkata demikian ketika dalam menjawab soalan yang dibangkitkan oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.

Harvinderjit: Jika pemegang akaun bank tidak pernah melihat penyata bank, misalnya jika penyata itu tidak diketahuinya, adakah anda setuju bahawa pemegang akaun tidak bertanggungjawab ke atas akaunnya?

Uma Devi: Pemegang akaun boleh dipertanggungjawabkan untuk semua transaksi.

Harvinderjit: Walaupun ada kesilapan, percanggahan, ketidaksamaan, pengeluaran tanpa kebenaran dan transaksi secara penipuan dan jika akaun bank itu tidak diketahui Najib, adakah Najib bertanggungjawab atas sebarang perbuatan salah dalam akaunnya?

Apabila Uma Devi hendak menjawab soalan itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram bangun lalu berkata soalan itu akan mendorong saksi membuat tekaan kerana saksi hanya akan menjawab berdasarkan pendapatnya.

Kepada soalan mengenai tugas Pengurus Perhubungan di bank, saksi pendakwa ke-21 itu memberitahu bahawa Pengurus Perhubungan Ambank mempunyai akses untuk membuka akaun untuk pelanggan mereka.

"Setiap Pengurus Perhubungan mempunyai kod unik yang dinyatakan dalam borang membuka akaun dalaman bank," katanya.

Kepada andaian oleh Harvinderjit bahawa cawangan itu tidak menjalankan proses pengesahan secara langsung dengan pelanggan dalam kes sedemikian, beliau bersetuju bahawa ia bergantung kepada dokumen sokongan yang dikemukakan oleh Pengurus Perhubungan yang terlibat.

Harvinderjit: Merujuk kepada pengesahan dari cawangan yang telah anda sebutkan sebelumnya, adakah pengesahan itu dengan pemegang akaun atau dengan Pengurus Perhubungan?

Uma Devi: Bergantung kepada hubungan pelanggan dengan Pengurus Perhubungan. Mungkin sesetengah pelanggan tidak keberatan berurusan dengan cawangan.

Saksi tersebut juga berkata Pengurus Perhubungan boleh membuat pengesahan dengan menghubungi pelanggan dan pelanggan tidak perlu berurusan secara langsung dengan cawangan.

Kepada soalan lain sama ada Pengurus Perhubungan Joanna Yu, Krystle Yap dan Daniel Lee telah bertemu dengan Najib yang merupakan pemegang akaun Ambank, saksi itu berkata "Saya tidak tahu".

Beliau memberitahu bahawa ketiga-tiganya telah lama meletak jawatan dari bank dan dia tidak tahu bila mereka meletak jawatan kerana dia tidak berhubung dengan mereka.

Saksi itu juga memberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd mempunyai dua akaun semasa dengan Ambank dan satu akaun asing.

Uma Devi berkata dia menyertai Ambank pada 2012 dan kemudian pada 2016 dia telah dua kali merakamkan kenyataan Bank Negara Malaysia berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd serta akaun bank Najib di Ambank.

"Pada akhir tahun 2018, saya mencatatkan kenyataan dengan Polis Diraja Malaysia manakala bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, saya mencatatkan sejumlah besar kenyataan antara tempoh 2015 hingga 2019," katanya.

Sebelum prosiding berakhir, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon perbicaraan esok ditangguhkan hingga Isnin, untuk membolehkan mahkamah mendengar notis usul yang difailkan oleh pasukan pembelaan pada 3 April untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan ke atas Najib sebagai mempunyai kecacatan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan itu dan menangguhkan perbicaraan kepada Isnin pukul 9.30 pagi. - Bernama