RM14.5j dimasukkan dalam akaun bank peribadi Najib: Pengurus Cawangan Ambank

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat transaksi kemasukan wang berjumlah RM14.5 juta ke akaun AmPrivate Banking-Y1MY milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak antara Julai 2014 dan 11 Februari 2015.

Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R.Uma Devi, 40, ketika membacakan penyataan saksinya berkata, wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun AmBank (AmPrivate Banking-Y1MY) bernombor 211-202-2011898 milik Najib.

"Saya mengesahkan sejumlah RM10 juta dimasukkan ke dalam akaun itu pada 8 Julai 2014, RM1 juta dimasukkan pada 23 Julai 2014 dan RM3.5 juta dimasukkan pada 11 Februari 2015," katanya ketika diminta membuat pengesahan ke atas Penyata Akaun Ambank itu yang dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim.

Semalam Uma Devi mendedahkan sebanyak RM64 juta dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking-1MY milik Najib bernombor 211-202-201188-0 antara 8 Julai 2014 dan 10 Februari 2015.

Uma Devi, yang berkhidmat dengan Ambank sejak 5 Mac 2012, turut mengesahkan borang pembukaan akaun bagi akaun berkenaan atas nama Datuk Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak yang dibuka pada 31 Julai 2013 dan nama pemilik akaun diletak sebagai AmPrivate Banking-Y1MY sebagai nama utama dan diikuti oleh nama Datuk Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak.

Saksi ke-21 pendakwaan itu yang menyambung keterangannya hari ini terdapat juga surat arahan oleh Nik Faisal Ariff Kamil bertarikh 23 Jun 2014 bertajuk ‘Transfer Instruction' dan mengesahkan bahawa itu adalah surat arahan kepada AmBank untuk memindahkan RM3 juta daripada akaun AmBank bernombor 211-202-201188-0 (Akaun AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

"Surat arahan ini turut mengarahkan AmBank untuk memasukkan RM1 juta daripada RM3 juta itu ke dalam akaun 211-202-2011898 dan baki RM2 juta dimasukkan ke akaun 211-202-201190-6 (Akaun AmPrivate Banking-Y1MY)," katanya pada hari kesembilan perbicaraan kes Najib, berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Uma Devi berkata, terdapat juga surat arahan oleh Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd) bertarikh 8 Julai 2014 untuk memindahkan RM20 juta daripada akaun AmBank 211-202-201188-0 (Akaun AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

Artikel Berkaitan:

"Surat arahan itu turut mengarahkan AmBank untuk memasukkan RM10 juta daripada RM20 juta itu ke akaun Ambank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY)," katanya.

Saksi itu berkata terdapat transaksi pemindahan keluar wang daripada akaun Ambank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib antara Ogos 2014 dan 11 Februari 2015.

"Saya mengesahkan RM10 juta dipindah keluar pada 21 Ogos 2014, RM1 juta dipindah keluar pada 28 Ogos 2014 dan RM3,496,500 dipindah keluar pada 11 Februari 2015," katanya.

Uma Devi turut mengesahkan terdapat surat arahan oleh Nik Faisal bertarikh 21 Ogos 2014 untuk memindahkan RM10 juta daripada Akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

"Surat arahan itu turut mengarahkan Ambank untuk memasukkan RM10 juta ke akaun AmBank bernombor 211-202-2011906 (AmPrivate Banking-Y1MY),” jelasnya.

Saksi itu juga mengesahkan terdapat surat arahan oleh individu sama bertarikh 28 Ogos 2014 kepada AmBank untuk memindahkan RM1 juta daripada akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib.

“Surat arahan itu turut mengarahkan AmBank untuk memasukkan RM1 juta ke akaun Ambank bernombor 211-202-2011906 (AmPrivate Banking-Y1MY),” katanya.

Beliau juga mengesahkan bahawa pihak AmBank telah menerima surat arahan daripada Nik Faisal bertarikh 10 Feb 2015 untuk memindahkan RM3.5 juta daripada akaun AmBank bernombor 211-202-2011906 (AmPrivate Banking-Y1MY) ke akaun bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY).

"Saya mengesahkan bahawa baki dalam akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) sebelum kemasukan RM3.5 juta pada 11 Februari 2015 adalah sebanyak RM120,083.08. Selepas kemasukan RM3.5 juta pada 11 Februari 2015, baki bagi akaun itu menjadi RM3,620.083.08,” jelasnya.

Saksi itu juga mengesahkan bahawa cek bernombor 000303 dengan nilai RM3.5 juta bertarikh 21 Januari 2015 dikeluarkan daripada akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib dan dimasukkan ke akaun CIMB Bank bernombor 8000642271 milik Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

“Saya juga mengesahkan bahawa cek Ambank bernombor 000303 telah didebit daripada akaun bernombor 211-202-2011898 pada 22 Januari 2015. Namun, jumlah yang silap telah dikredit ke akaun CIMB Bank itu di mana RM3,500 telah dipindahkan daripada akaun AmBank bernombor 211-202-2011898 (AmPrivate Banking-Y1MY) ke akaun CIMB berkenaan,” katanya.

Uma Devi berkata beliau dimaklumkan bahawa ‘Cheque Prosessing Centre Ambank’ telah mengambil tindakan pembetulan terhadap kesilapan memproses cek Ambank bernombor 000303.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat pastikan apa tindakan pembetulan yang dilakukan oleh pihak ‘Cheque Prosessing Centre Ambank’,” katanya.

Saksi itu juga mengesahkan terdapat surat daripada Najib kepada AmBank Berhad bertarikh 3 Mac 2015 untuk menutup ketiga-tiga akaun bernombor 2112022011880, 2112022011898 dan 2112022011906.

“Ketiga-tiga akaun itu telah ditutup pada 9 Mac 2015 dan baki ketiga-tiga akaun berkenaan dipindahkan ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd.

“Baki akaun bernombor 2112022011898 ketika ditutup adalah sebanyak RM721.57, baki akaun bernombor 2112022011880 ketika ditutup adalah sebanyak RM690.11 dan baki akaun bernombor 2112022011906 ketika ditutup adalah RM101,952.14,” jelasnya.

Uma Devi turut mengesahkan bahawa baki ketiga-tiga akaun berkenaan iaitu sebanyak RM103,361.17 telah dipindahkan ke akaun Ihsan Perdana melalui satu cek AmBank bernombor 004836 bertarikh 9 Mac 2015.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Bernama