China setuju tambah pembelian 1.9 j tan minyak sawit Malaysia

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - China di bawah Kementerian Kewangan, Republik Rakyat China (RRC) bersetuju menambah pembelian minyak sebanyak 1.9 juta tan sawit Malaysia bagi tempoh lima tahun mulai 2019 sehingga 2023 dengan anggaran nilai sebanyak RM4.56 bilion.

Kementerian Industri Utama (MPI) dalam satu kenyataan hari ini berkata, persetujuan itu dibuat setelah China Chamber of Commerce of Foodstuffs and Native Produce (CFNA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Enhancing Palm Oil Trade and Cooperation dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di Beijing, China hari ini.

“Nilai ini berdasarkan harga purata minyak sawit pada tahun 2018 sebanyak AS$600 per tan dan pertukaran mata wang RM4 bagi AS$1.

“Majlis menandatangani MoU ini telah disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri China, Li Keqiang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kandungan utama MoU ini adalah melaksanakan program kerjasama dengan membenarkan belian terus minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang berjumlah 1.9 juta tan untuk tempoh lima tahun.

“Perjanjian itu turut disertakan dengan membuat pelaburan modal dalam kilang biobahan api jet tidak kurang daripada RM2 bilion dan lelemak tepu RM200 juta tertakluk kepada kebolehupayaan pasaran.

“Pada masa sama, Malaysia dan China akan mengadakan kerjasama dalam menangani isu perdagangan antaranya dengan menggalakkan penggunaan mata wang China, Renminbi bagi perdagangan minyak sawit, tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sebagainya,” katanya.

Dalam kenyataan sama turut memaklumkan perjanjian tersebut membolehkan kedua-dua negara meneroka bidang dan kerjasama baharu yang berpotensi.

Artikel Berkaitan:

“Pelaporan secara berkala di antara kedua-dua pihak mengenai pelaksanaan program dan aktiviti di bawah MoU ini juga akan melalui Production Capacity and Investment Cooperation Working Group (PCICWG).

“Kajian semula ke atas MoU ini hanya boleh dilaksanakan selepas tiga tahun dari tarikh kuatkuasa,” katanya.

RRC adalah rakan dagang utama Malaysia bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit selepas Kesatuan Eropah (EU) dan India. Nilai eksport minyak sawit ke RRC bagi tahun 2018 adalah sebanyak 3.07 juta tan (RM8.4 bilion).

Pada 23 November 2015, Malaysia dan RRC telah menandatangani Perjanjian The Cooperation Programme to Enhance Bilateral Trade, Economic and Investment Cooperation (Trade Agreement) dan Perjanjian Enhancing Cooperation in Production Capacity and Investment (Production and Capacity Investment Agreement) di Putrajaya.

Namun begitu, nilai eksport minyak sawit ke RRC bagi tahun 2018 telah menunjukkan penurunan sebanyak 10.8 peratus berbanding tahun 2017.