Modus operandi lapuk premis judi

Sebuah premis perjudian online yang terletak di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur yang diserbu polis, awal pagi semalam.
Sebuah premis perjudian online yang terletak di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur yang diserbu polis, awal pagi semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya beroperasi pada awal pagi kononnya mahu mengelak kegiatan perjudian atas talian (online) akhirnya dapat dihidu pihak berkuasa.

Namun, kegiatan haram di sebuah premis yang terletak di Taman Sri Sentosa di sini, berjaya dikesan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Rohazah Alwi berkata, Ops Dadu kira-kira jam 2.50 pagi berjaya menyerbu premis berkenaan dan menahan tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 20 hingga 32 tahun.

Menurutnya, semakan mendapati dua lelaki terbabit merupakan warga Myanmar dan seorang lagi warga Bangladesh yang berperanan sebagai penjaga premis serta pembantu penjaga.

"Pelbagai barang dipercayai diguna untuk perjudian dirampas antaranya 11 set komputer riba, tetikus (11 unit), modem wifi (1 unit) serta wang tunai RM151.

"Soal siasat terhadap suspek mengaku premis terbabit beroperasi sejak sebulan lalu," katanya.

Rohazah mendedahkan, premis ini beroperasi pada awal pagi dari jam 2 pagi sehingga lewat pagi dengan beranggapan polis telah selesai menjalankan operasi membanteras perjudian pada waktu tengah malam.

Jelasnya, pihaknya percaya kegiatan yang didalangi sebuah kumpulan ini menggajikan pekerja asing dengan bayaran RM1,400 sebulan. Pekerja asing ini juga akan memantau dan memastikan hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk.

Artikel Berkaitan:

"Premis ini juga beroperasi secara curi-curi bagi mengelak kegiatannya mudah dikesan polis," katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.