Tun M harap lebih kerjasama dengan China

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersalaman dengan Perdana Menteri China Li Keqiang ketika mesyuarat dua hala di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai, Beijing hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersalaman dengan Perdana Menteri China Li Keqiang ketika mesyuarat dua hala di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai, Beijing hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia adalah rakan China dan mahu melihat lebih banyak pelaburan daripada negara itu.

Bercakap semasa sesi dialog dengan ketua-ketua korporat China anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), di sini, hari ini, beliau berkata kerajaan mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dan pelaburan dari China.

Beliau berharap komuniti perniagaan China akan melihat peluang pelaburan di Malaysia dan melabur di negara itu.

“Kami mempunyai kerajaan yang sangat mesra perniagaan di Malaysia, rakan kepada pelabur, yang membantu pelabur. Malaysia adalah rakan China dan berharap akan dapat menjalin lebih banyak kerjasama perniagaan dengan China,” kata Dr Mahathir.

China ialah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 10 tahun lepas, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara melonjak lebih daripada lapan peratus kepada RM313 bilion tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Beijing dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia menerima kedatangan pelabur dari seluruh dunia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, apabila para pelabur melihat negara ini sebagai sangat stabil dari segi politik berbanding negara-negara jiran.

Pelabur asing, katanya, meraih banyak manfaat daripada pelaburan mereka di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir tiba di Beijing malam tadi sempena lawatan kerja selama lima hari ke negara ini dan menghadiri Forum Kedua Belt and Road bagi Kerjasama Antarabangsa atas jemputan Presiden China Xi Jinping.

Sesi dialog itu yang disertai oleh ketua-ketua perniagaan utama China juga dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertanian Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menjawab soalan daripada salah seorang peserta, Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia menyaksikan perubahan kerajaan pada Mei tahun lepas menerusi pilihan raya yang aman, dasar berkaitan dengan perniagaan dan pelaburan kebanyakannya tetap kekal sama.

Ini, katanya, menyediakan kestabilan kepada komuniti perniagaan dan pelaburan.

Mengenai cadangan kerajaan menurunkan cukai pendapatan untuk menarik lebih banyak pelaburan, Dr Mahathir berkata kadar cukai pendapatan maksimum telahpun berada di tahap yang rendah pada 26 peratus sekarang berbanding kira-kira 45 peratus sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan mengambil kira sama ada dengan menurunkan cukai akan membawa manfaat kepada Malaysia dari segi pelaburan. - Bernama