FGV nafi mahu kurangkan 6,000 pekerja

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - FGV Holdings Bhd menafikan laporan berita hari ini yang menyatakan syarikat perladangan itu mahu mengurangkan 6,000 pekerja dalam tempoh tiga tahun sebagai langkah untuk mengurangkan kos, di samping mengoptimumkan aset di bawah pelan pemulihan menyeluruhnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Haris Fadzilah Hassan menjelaskan kumpulan itu tidak pernah berhasrat untuk menamatkan perkhidmatan 6,000 pekerjanya tetapi hanya merancang mengurangkan 10 peratus daripada kos tenaga kerja setahun.

Beliau berkata, rancangan itu termasuk pengurangan kos elaun lebih masa, bil perubatan dan lain-lain bagi kakitangan, katanya dalam kenyataan kepada Buletin Utama TV3, hari ini.

Menurutnya, pengurangan pekerja hanya akan berlaku sekiranya terdapat aktiviti penjualan perniagaan bukan teras yang dijalankan kumpulan, serta menerusi skim pemisahan bersama (MSS) dan aktiviti persaraan.

Haris Fadzilah berkata langkah pengurangan kos operasi 10 peratus setiap tahun itu akan dilaksanakan bagi tempoh tiga tahun akan datang, yang mana kos operasi FGV sekarang adalah agak tinggi, kini melebihi RM1 bilion setahun.

Satu laporan berita hari ini menyatakan FGV merancang mengurangkan sebanyak mungkin sehingga 6,000 kakitangan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihannya selepas ia mencatatkan kerugian besar RM1.07 bilion dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2018 — kerugian paling buruknya sejak disenarai awam pada 2012 — berikutan rosot nilai yang amat besar dan harga minyak sawit rendah. - Bernama

Artikel Berkaitan: