'Kami berpegang teguh pada ASWJ'

Tenaga pengajar Madrasah Ribat Al-Musthofa membuat laporan polis di IPD Machang di sini, hari ini.
Tenaga pengajar Madrasah Ribat Al-Musthofa membuat laporan polis di IPD Machang di sini, hari ini.
A
A
A

MACHANG - "Kami berpegang teguh di atas landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan menolak aliran akidah yang terkeluar daripada ASWJ seperti Khawarij dan Syiah," tegas Mudir Madrasah Ribat Al-Musthofa, Kampung Bagan Bawah, Pulai Chondong di sini, hari ini.

Muhaizad Mohamad berkata, pondok tersebut didakwa mengamalkan fahaman Syiah dan isu itu menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu apabila turut dikongsikan oleh netizen dengan menyebarkan gambar beberapa program yang diadakan di pusat pengajian agama itu.

Katanya, individu yang tidak dikenali itu mendakwa aktiviti yang diadakan di pondok tersebut berunsurkan Syiah dengan menggunakan status," Ada bau-bau Tehran dan Tareem" di laman Faceebook.

Tambahnya, tindakan tersebut menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat sekali gus menjejaskan nama baik pondok yang baru beroperasi empat tahun itu.

"Jika ada sebarang keraguan, pihak terbabit boleh datang jumpa kami untuk pengesahan. Tindakan memburuk-burukkan pondok di laman sosial itu bukan sahaja menjejaskan imej pusat pengajian kami tetapi menimbulkan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan masyarakat.

"Kami berdiri teguh di atas landasan ASWJ dan memandang serius tuduhan ini.

"Laporan polis telah dibuat dan kami berharap tindakan sewajarnya akan dilaksanakan termasuk menyiasat pemilik akaun Facebook tersebut," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang.

Artikel Berkaitan: