Saksi pakar ke-29 buat laporan polis

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mikhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, yang merupakan saksi ke-29 dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, telah membuat laporan polis, Selasa lalu.

Ini susulan satu laporan akhbar mengenainya kononnya beliau mengugut saksi-saksi pakar lain yang terlibat dalam inkues tersebut yang bermula sejak 11 Feb lalu.

Dr Shahrom membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor, dalam kenyataan hari ini, berkata dakwaan laporan akhbar terhadap Dr Shahrom adalah tidak benar dan tidak berasas.

Katanya, perkara yang dinyatakan dalam laporan polis dan sebuah akhbar tidak berlaku, yang mana tiada kejadian ugutan dalam mana-mana perjumpaan antara kedua-dua pihak.

“Untuk makluman umum, Dr Shahrom bersara pada 2017, namun beliau sanggup memberi khidmat kepakaran secara Pro Bono (percuma) untuk membantu mahkamah dalam prosiding inkues ini.

“Kami langsung tidak menyangka beliau akan dituduh seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan polis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, dua laporan dibuat oleh dua doktor pakar forensik,Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu lalu mendakwa menerima ugutan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 189 Kanun Keseksaan iaitu ugutan bencana kepada seorang penjawat awam.- Bernama