KPDNHEP perkasa e-dagang kurangkan harga barang, perkhidmatan

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhasrat untuk memacu sektor e-dagang sebagai satu daripada cara mengurangkan harga barang dan perkhidmatan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhasrat untuk melaksanakan perkara tersebut kerana ia mampu menurunkan harga barang dengan berkesan.

"Untuk mengurangkan kos sara hidup ialah dengan meningkatkan kecekapan dan satu daripada pilihan yang kita ada ialah dengan menggunakan e-dagang yang boleh mengurangkan banyak orang tengah," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pencapaian Pakatan Harapan dalam tempoh setahun.

Saifuddin Nasution berkata, berbanding kejayaan syarikat Alibaba yang diterajui oleh ahli perniagaan, Jack Ma, Malaysia masih jauh ketinggalan walaupun sebenarnya negara ini lebih maju daripada China dalam ekonomi digital.

"Terdapat 30 peratus rakyat Malaysia menggunakan internet ketika Multimedia Super Corridor dilancarkan pada tahun 1998.

“Jack Ma, memulakan Alibaba pada tahun 1999, pada masa itu hanya 1 peratus orang China adalah pengguna internet.

"Kita bermula tiga langkah ke depan berbanding Jack Ma tetapi kini jualan Alibaba dalam sehari sudah mencecah AS$20 bilion dan mereka menghantar jutaan barang di seluruh dunia," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu itu menjelaskan mahu memperkasa dan menjayakan program Food Bank supaya dapat membantu rakyat.

Jelas beliau, usaha yang dibuat menerusi Majlis Sara Hidup Negara itu mampu untuk membantu melegakan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Dalam inisiatif ini, kita jayakan Food Bank di samping dapat membantu golongan memerlukan yang perlukan bekalan makanan, kita juga dapat melahirkan lebih ramai sukarelawan yang datangnya daripada pelbagai latar belakang sosial.

“Program Food Bank ini berjaya mengurangkan karenah birokrasi, mendidik pasaraya, pengusaha makanan dan hotel mengelakkan pembaziran kerana jika ada lebihan makanan, ia boleh didermakan kepada Yayasan Food Bank. Inisiatif ini dapat berikan kepuasan kepada saya dan KPDNHEP,” katanya.

Beliau turut menyentuh tentang pemberian subsidi petrol secara bersasar terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, kajian mengenai sistem subsidi petrol secara bersasar kini di peringkat akhir sebelum mekanisme itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Apabila data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) selesai dikemaskini, kerajaan akan umumkan pelaksanaan subsidi bersasar ini supaya kerajaan dapat melakukan penjimatan dan peruntukan yang ada boleh digunakan untuk tujuan yang lain," ujar beliau.

Untuk rekod, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan dengan 90 peratus daripadanya ialah RON95 bersubsidi, manakala baki 10 peratus lagi RON97.

Mengenai kajian terhadap rantaian bekalan yang menyebabkan harga barang mahal, Saifuddin berkata, perkara itu telah dibentangkan kepada ahli jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

“Saya yakin analisis ini penting untuk KPDNHEP faham berapa lapis sebelum sampai kepada pengguna. Berkaitan apa elemen yang menjadi punca harga mahal apabila sampai kepada pengguna.

"Saya berpeluang untuk bentangkan, kemudian diberi sokongan daripada kepada jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu,” jelasnya.

Artikel Disyorkan
No Image Caption
Kerajaan PH

Wibawa Parlimen dikembalikan

No Image Caption
Kerajaan PH

Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak