Jenayah keganasan rumah tangga catat penurunan

Abdul Hamid (tengah) menunjukkan isyarat bagus selepas merasmikan Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak serta Pelancaran Buku Pencegahan Jenayah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Abdul Hamid (tengah) menunjukkan isyarat bagus selepas merasmikan Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak serta Pelancaran Buku Pencegahan Jenayah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenayah keganasan rumah tangga di negara ini mencatatkan penurunan apabila sebanyak 5,421 kes dilaporkan pada tahun lalu berbanding 5,513 kes pada tahun 2017.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, daripada jumlah itu, mangsa melibatkan wanita menunjukkan penurunan daripada 4,026 kes pada tahun 2017 kepada 3,947 kes pada tahun 2018.

"Namun, bagi kes penderaan kanak-kanak berlaku sedikit peningkatan iaitu daripada 429 kes pada tahun 2017 kepada 456 kes pada tahun berikutnya.

"Wilayah Persekutuan menjadi negeri kedua tertinggi dengan jumlah kes sebanyak 62 kes pada tahun lalu berbanding 56 kes yang dicatatkan pada tahun 2017," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak serta Pelancaran Buku Pencegahan Jenayah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Beliau percaya penurunan angka statistik kes keganasan rumah tangga ini adalah berpunca daripada peningkatan kesedaran di kalangan orang ramai.

Harus diambil kira kemungkinan terdapat kes-kes yang tidak dilaporkan atas beberapa faktor seperti malu, halangan dan kurangnya pengetahuan tentang melindungi diri.

"Bagi memastikan isu keganasan itu dapat ditangani dan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya, peranan masyarakat sebagai penyalur maklumat kepada pihak berkuasa amatlah dialu-alukan," katanya.

Abdul Hamid berkata, bagi memberi pendedahan kepada masyarakat, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan pengendali Facebook dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selain program bersama agensi kerajaan seperti DBKL dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Artikel Berkaitan:

Turut hadir di majlis tersebut adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Bok Siew Mun.