Kecoh dakwaan rumah mewah bekas MB

Sidang DUN Negeri Sembilan hari ini kecoh apabila timbul isu rumah mewah di Seremban 2.
A
A

SEREMBAN - Suasana Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini, kecoh apabila beberapa ADUN pembangkang meminta Ismail Ahmad (PH-Labu) menarik balik kenyataannya yang mendakwa Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) mempunyai rumah mewah di Seremban 2.

Ismail berkata, dakwaan yang tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp menyatakan rumah berkenaan merupakan rumah bekas menteri besar itu akan disiasat semula.

"Disebabkan PH sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, kita akan minta apa sahaja yang ditimbulkan pada PRK Rantau lalu disiasat semula.

"Seperti mana Rantau pernah mempersoalkan soal integriti saya dan saya juga boleh persoalkan integriti beliau apabila mendakwa tidak miliki rumah.

"Tapi kita tak tuduh dan hanya mahu pastikan rumah ini bukan rumah dia," katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua ADUN supaya berani mengiystiharkan harta mereka kerana sekadar bercakap tidak membuktikan apa yang berlaku.

Tidak puas hati dengan kenyataan Ismail, Mohamad lantas bangun mencelah dan meminta Ismail sertakan bukti jika rumah yang dimaksudkan itu adalah rumah beliau.

"Sila bawa bukti kerana tuduhan dalam dewan ini serius. Kalau boleh buktikan, kalau tidak nanti saya ambil tindakan mahkamah.

"Apa YB cakap tadi seolah-olah mengatakan saya berbohong kata saya tiada rumah," katanya.

Ismail berkata, beliau tidak bercakap Mohamad berbohong, tapi hanya bercakap akan menyiasat semula kerana sekarang sebagai pemerintah.

Datuk Ismail Lasim (BN-Juasseh) berkata, tidak sepatutnya beliau menjadi seorang polis di dalam dewan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Kemudian beberapa ADUN BN antaranya, Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong), Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Serting) dan Datuk Abdul Samad Ibrahim bangun mencelah dan minta Ismail menarik balik kenyataannya itu.

Ismail kemudian memberitahu yang beliau akan bertanggungjawab atas apa yang dikatakannya.

Beliau kemudian berkata akan menarik balik kenyataannya itu jika ia menyakitkan hati.

Pada PRK Rantau 13 April lalu, tular gambar sebuah rumah mewah di Seremban 2 di media sosial yang mendakwa ia milik Mohamad.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia