Tambah pelajar matrikulasi akan timbul banyak masalah: DAP

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Rancangan kerajaan meningkatkan pengambilan program matrikulasi sebanyak 60 peratus dilihat hanya akan mendatangkan lebih banyak masalah.

Memetik laporan Malaysiakini, Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda DAP berkata, dasar itu akan menghalang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada memasuki universiti awam.

"Orang ramai akan melihatnya sebagai tiket kemasukan ke universiti, kerana pelajar matrikulasi mempunyai kelebihan dalam mendapatkan gred tinggi dan aktiviti kokurikulum berbanding STPM.

"Ini menyebabkan para lepasan matrikulasi diberi lebih banyak keistimewaan untuk mengambil kursus yang popular di universiti," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan yang ditandatangani 20 pemimpin DAP.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tambah 40,000 tempat untuk pelajar selesai isu kuota matrikulasi

Selain itu, menurut mereka, penambahan jumlah pelajar matrikulasi akan menjejaskan standard akademik selain mempersoalkan jika kemampuan kerajaan untuk berbuat demikian.

"Kerajaan pusat membelanjakan RM37.5 juta untuk subsidi kepada 15,000 pelajar pada setiap tahun.

"Pada masa kritikal ini di mana negara menghadapi kekangan kewangan, (dasar ini akan) menambah beban kewangan negara," kata mereka.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Kabinet bersetuju menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini.

Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, keputusan itu juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum.

Jemaah Menteri bersetuju menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini.

Beliau menambah, kerajaan Pakatan Harapan melihat wujud keperluan utama untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada Program Matrikulasi wajar dimaksimumkan untuk tujuan ini.