DAP nafi beri MyKad kepada warga China

Kenyataan palsu yang ditularkan di media sosial (Gambar kecil: Lim Lip Eng)
Kenyataan palsu yang ditularkan di media sosial (Gambar kecil: Lim Lip Eng)
A
A
A

KUALA LUMPUR - DAP Wilayah Persekutuan menafikan kenyataan yang mendakwa parti itu giat melakukan proses pendaftaran warga China di Kepong bagi mendapatkan MyKad.

Setiausahanya, Lim Lip Eng berkata, maklumat mengenai penularan kenyataan palsu itu diterimanya sejak Selasa lalu dan ramai penyokong parti itu menghubunginya bagi mendapatkan informasi lanjut mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, kenyataan yang ditularkan melalui media sosial itu dipercayai dilakukan musuh politik DAP bagi menghasut dan menimbulkan situasi tegang antara kaum di negara ini.

"Saya tidak membuat laporan polis lagi kerana tindakan bodoh ini dilakukan semata-mata bagi menyemarakkan sentimen perkauman di negara ini.

"Tindakan ini dipercayai dilakukan musuh politik DAP sendiri yang cuba untuk memburukkan parti ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, pihaknya percaya majoriti rakyat di negara ini tidak akan termakan dengan hasutan yang tular melalui media sosial tersebut bagi memburuk-burukkan DAP.

"Serangan ini ternyata tidak masuk akal dan biasanya perkara menghasut dan berunsur perkauman ini dilakukan oleh parti tertentu yang cemburu dengan DAP," katanya.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu memainkan peranan dengan lebih aktif bagi memantau sebarang kenyataan yang menghasut dan berunsur perkauman terutama di media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini perlu dihalang di peringkat awal oleh SKMM dan pihak berkenaan tidak seharusnya menunggu aduan rasmi terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan," katanya.

Difahamkan, mesej yang tersebar itu turut menyarankan supaya kaum Melayu dapat bersatu atas nama Islam bagi menghalang tindakan tersebut.