Mufti Wilayah puji usaha Menteri Wilayah, DBKL

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad memuat naik penghargaan atas usaha Menteri Wilayah atas sokongan dan pihak DBKL atas keizinan memaparkan Infografik Pelbagai Hukum dan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan di Menara DBKL, Jalan Raja Laut.
A
A

KUALA LUMPUR - Paparan infografik yang memaparkan pelbagai hukum dan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi pujian.

Perkongsian yang dimuat naik Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad sekali gus mengucapkan penghargaan kepada pihak Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad serta DBKL.

Zulkifli dalam catatannya melalui laman Facebook berkata, beliau mengucapkan sokongan kepada kedua pihak atas paparan di bangunan tersebut.

"Sekalung penghargaan kepada YB Khalid Samad, Menteri Wilayah atas sokongan dan pihak DBKL atas keizinan memaparkan Infografik Pelbagai Hukum dan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan di Menara DBKL, Jalan Raja Laut.

"Lebih 300 buah infografik akan dimuat naik setiap hari untuk manfaat umat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Perkongsian tersebut turut mendapat sokongan daripada netizen yang rata-rata memuji usaha murni tersebut.

Netizen, Mohd Zakie berkata, langkah ini merupakan kerjasama padu antara Pejabat Mufti dan Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan.

Manakala tidak kurang juga yang memberikan cadangan agar penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan meletakkan dwibahasa pada infografik tersebut.

Netizen Roslizah Mohd Nordin Tan berkata, dirinya mencadangkan info tersebut dapat dilaksanakan dalam bahasa Inggeris agar ia sampai kepada bukan Islam serta pelancong yang mana merupakan satu dakwah.