Tak serik proses minyak pelincir palsu

Khalid (kanan) melihat tong minyak pelincir dipercayai tiruan yang dirampas KPDNHEP di salah sebuah kilang di Ayer Tawar, hari ini.
Khalid (kanan) melihat tong minyak pelincir dipercayai tiruan yang dirampas KPDNHEP di salah sebuah kilang di Ayer Tawar, hari ini.
A
A
A

AYER TAWAR - Sebuah premis perniagaan menghasilkan minyak pelincir tiruan tidak serik walaupun pernah ditahan pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dua kali sebelum ini.

Malah premis berkenaan turut berani memasarkan minyak tiruan tersebut menggunakan cap dagang salah sebuah syarikat terkenal dan dijual bukan sahaja sekitar Perak dan Selangor tetapi juga kepada agensi kerajaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik berkata, premis yang terletak di dalam kebun kelapa sawit di Ayer Tawar berkenaan diserbu dan diperiksa pihak KPDHEP sekitar jam 2.30 petang semalam.

"Seramai 21 Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya dan Perak dibahagikan kepada tiga kumpulan telah melakukan pemeriksaan di tiga premis sekitar Sitiawan petang semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis semua premis berkenaan disyaki menjalankan perniagaan mengilang dan membekalkan minyak pelincir berjenama dan berjaya menahan empat lelaki dan dua wanita," katanya kepada pemberita pada sidang media di premis berkenaan, di sini, hari ini.

Tambahnya, daripada tiga premis yang diperiksa salah satunya merupakan kilang yang menghasil dan memproses minyak pelincir tiruan dengan mencampurkan minyak pelincir berjenama bersama minyak terpakai.

"Dua lagi premis yang diperiksa merupakan kedai menjual alat ganti jentera berat yang mendapat bekalan daripada kilang berkenaan dan memasarkan kepada penggunanya," katanya.

Menurut Khalid, siasatan awal daripada pihak wakil cap dagang mengesyaki bahawa barang yang disita berkenaan adalah produk tiruan berdasarkan kualiti dan kod yang digunakan adalah berbeza daripada produk asli.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, pihak KPDNHEP telah merampas 209 tong minyak pelincir dan dokumen untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan tersebut adalah dianggarkan sebanyak RM257,000.

"Daripada jumlah tong berkenaan sebanyak 187 tong dirampas daripada kilang berkenaan manakala bakinya 22 tong daripada dua lagi premis yang merupakan kedai menjual alat ganti jentera berat," katanya.

Menurut Khalid kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2) (a) dan (b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan minyak pelincir tiruan yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.