Ops Vulture basmi iklan ah long

Kesemua bunting dan poster diserahkan kepada MBI untuk dilupuskan.
A
A

IPOH - Dalam tempoh empat jam, sejumlah 5,360 iklan pinjaman wang haram yang digantung sekitar daerah itu berjaya diturunkan menerusi Ops Vulture, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, operasi secara bersepadu itu melibatkan 98 pegawai dan anggota termasuk tujuh penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, polis mengambil tindakan proaktif itu bagi mengekang iklan yang boleh memperdaya orang awam hingga menjadi mangsa kepada syarikat pinjaman yang tidak berdaftar.

"Dalam tempoh setahun ini, seramai 20 individu berusia 23 hingga 48 tahun telah ditangkap disyaki terlibat dengan kegiatan pemberi pinjam wang tanpa berlesen.

Anggota polis menjalankan operasi Ops Vulture menurunkan bunting iklan ah long sekitar bandar Ipoh.
Anggota polis menjalankan operasi Ops Vulture menurunkan bunting iklan ah long sekitar bandar Ipoh.

"Lima kertas siasatan kes ah long yang dibuka tahun ini telah selesai manakala 14 kes masih dalam siasatan. Kesemua bunting dan poster ah Long telah diserahkan kepada MBI untuk dilupuskan," katanya.

Mohd Ali berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat pinjaman daripada ah long untuk elak daripada diugut atau dikenakan faedah yang tidak munasabah.

"Sekiranya memerlukan, boleh membuat pinjaman melalui institusi kewangan yang berdaftar," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia