Malaysia, Qatar meterai MoU berkaitan pelancongan

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (kiri) bersama Duta Besar Qatar ke Malaysia Fahad Mohammed Kafood semasa menerima kunjungan hormat di pejabatnya di Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (kiri) bersama Duta Besar Qatar ke Malaysia Fahad Mohammed Kafood semasa menerima kunjungan hormat di pejabatnya di Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Qatar akan mempertingkatkan kerjasama dalam sektor pelancongan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang akan dimeterai tidak lama lagi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, kerajaan kedua-dua negara sedang dalam proses mengkaji MoU itu, bertujuan meningkatkan kedatangan pelancong dari Qatar ke Malaysia dan sebaliknya, menerusi perkongsian maklumat, latihan bagi petugas pelancongan dan promosi bersama.

Tahun lepas, lebih 4,000 pelancong dari Qatar melawat Malaysia, peningkatan sebanyak 95 peratus daripada tahun sebelumnya.

"Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk mendapatkan lebih ramai rakyat Malaysia berkunjung ke Qatar dan rakyat Qatar mengunjungi Malaysia, lebih-lebih lagi semasa Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan hormat Duta Qatar di Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud, di sini hari ini.

Mohamaddin berkata dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, mereka turut membincangkan tentang kesalinghubungan pelancong, dan beliau meminta duta itu untuk mempertimbangkan kemungkinan bagi Qatar Airways untuk memasukkan Kota Kinabalu, Sabah, ke dalam senarai penerbangan terus dari Doha.

"Duta itu berkata mereka akan mempertimbangkan perkara itu,” kata Mohamaddin.

Sementara itu, Fahad berkata kerajaan Qatar berharap untuk menjalin kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor pelancongan.

"Ini hanyalah permulaan kepada hubungan yang sangat berhasil terutamanya apabila kita menerima arahan terus daripada pemimpin kedua-dua negara untuk mempertingkatkan kerjasama serta perkongsian dalam semua bidang, termasuk lapangan terbang dan syarikat penerbangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Syarat visa pelancong China, India mungkin dilonggarkan

Isnin lepas, Mohamaddin berkata kementeriannya sedang berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa, antaranya, Condor, Qatar Airways, IndiGo Airlines and TUI fly, untuk menambah destinasi penerbangan mereka di negara ini. - Bernama