Jamal tetap hadir perbicaraan walaupun demam campak

Jamal tiba ke mahkamah dengan van hospital kerana masih dalam rawatan akibat demam campak.
Jamal tiba ke mahkamah dengan van hospital kerana masih dalam rawatan akibat demam campak.
A
A
A

AMPANG - Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Mohd Yunos susulan kegagalannya hadir ke prosiding perbicaraan di mahkamah itu semalam.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membatalkan waran tangkap tersebut selepas peguam Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin mengemukakan sijil sakit yang dikeluarkan Hospital Ampang Puteri.

Mohd Imran juga memaklumkan anak guamnya tidak hadir dalam prosiding perbicaraan semalam kerana ditahan di hospital berkenaan kerana demam campak.

Mohd Imran turut memaklumkan, pengesahan bertulis daripada doktor yang merawat anak guamnya tidak dapat diserahkan semalam kerana mereka memperoleh pengesahan itu pada jam 5.15 petang selepas mahkamah ditutup.

Terdahulu pada prosiding perbicaraan yang bermula pada sebelah petang hari ini, Jamal hadir ke mahkamah dengan ambulan dan memakai pakaian pesakit selain turut membawa bersama 'water drip'.

Sementara itu, majistret Mohamad Firdaus berkata, berdasarkan rekod mahkamah, Jamal juga didapati tidak hadir beberapa kali sebelum ini tanpa alasan malah penjamin juga tidak hadir bagi memaklumkan alasan.

"Mahkamah bertindak berdasarkan 'rule of law' dan semua tindakan adalah terpakai kepada semua, tiada layanan istimewa diberikan," katanya.

Tambah majistret itu, berdasarkan undang-undang, prosiding perbicaraan boleh diteruskan tanpa kehadiran tertuduh jika ada sebab-sebab yang istimewa.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan pihak pendakwaan memanggil seorang saksi, iaitu jurubahasa mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Waran tangkap untuk Jamal kerana gagal ke mahkamah

Sebelum ini, Jamal berdepan dengan empat pertuduhan, dua melibatkan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dan masing-masing satu bagi kes Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 224 kerana melarikan diri dalam tahanan yang sah.

Pada 26 Mei lalu, Pengerusi NGO Malaysia itu menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor sehari sebelum itu.

Kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin Jamal kira-kira jam 5.30 petang dengan pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Jamal kemudiannya berjaya ditangkap Polis Negara Republik Indonesia (Polri) ketika sedang menggunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta, Selatan.

Beliau kemudiannya diekstradisi dan tiba di negara ini pada 5 Julai lalu.

Selain itu bagi kes melarikan diri ke Indonesia pula, Jamal berdepan pertuduhan keluar negara tanpa mengikuti laluan sah mengikut Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63.