Wanita libas dahi budak dengan parang ke Tanjung Rambutan

Mahazam Ab Razak,40, (kiri) dikawal polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini selepas mendapat perintah supaya ditahan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMASKINI] Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengarahkan seorang wanita supaya ditahan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak, akibat bertindak agresif melibas parang ke dahi seorang kanak-kanak lima tahun hingga mangsa mengalami kecederaan parah.

Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan terhadap Mahazam Ab Razak, 40, dari Kampung Kuchelong, Jelawat, Bachok, itu mengikut Seksyen 438 Kanun Tatacara Jenayah 1976, manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry.

Sebelum itu, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Zakwan Rizqin Mohd Za’ain dengan menggunakan parang di tepi Jalan Kampung Kuchelong, Jelawat, Bachok, pada jam 1 tengah hari, 21 Jun tahun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.