Kadar zakat fitrah di Kedah kekal RM7

 Syeikh Zakaria Othman
Syeikh Zakaria Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan kadar zakat fitrah diwajibkan kepada umat Islam di Kedah tahun ini kekal dengan kadar minimum RM7 seorang.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Syeikh Zakaria Othman berkata, penetapan itu mengikut harga bagi timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram (kg).

Bagaimanapun, Syeikh Zakaria berkata, golongan berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan boleh memilih beras lain.

"Maka, golongan berkenaan boleh memilih kadar zakat fitrah, iaitu beras Super Import berharga RM14 ataupun beras Basmathi berharga RM21," katanya.

"Bagaimanapun, kadar bayaran zakat fitrah melebihi kadar yang ditetapkan, iaitu RM7 adalah sunat dengan tiada paksaan kepada pembayar," katanya.

Menurut beliau, umat Islam boleh membuat bayaran zakat fitrah secara tunai kepada LZNK melalui 2,998 amil fitrah dilantik di 621 pusat kutipan zakat fitrah.

Katanya, pembayaran secara tunai boleh dilakukan melalui amil fitrah itu di seluruh Kedah menggunakan resit rasmi zakat fitrah yang dikeluarkan oleh LZNK.

Syeikh Zakaria berkata, orang ramai juga boleh melakukan pembayaran itu secara dalam talian di laman Jom Zakat melalui https://jom.zakatkedah.com.my.

Artikel Berkaitan: