11 beranak cemas dapur, bilik air runtuh

Wan Yusrizal menziarahi keluarga itu untuk melihat keadaan Teh dan kerosakan rumah.
Wan Yusrizal menziarahi keluarga itu untuk melihat keadaan Teh dan kerosakan rumah.
A
A
A

KUALA NERUS – Sebuah keluarga cemas apabila struktur dinding dan lantai di bahagian dapur dan bilik air rumah mereka tiba-tiba runtuh ketika 11 beranak itu sedang berehat di rumah tamu.

Salah seorang daripada mereka, Teh Embong, 78, sudah lanjut usia dan bergerak menggunakan kerusi roda manakala 10 lagi ahli keluarga adalah menantu dan sembilan cucunya.

Bagaimanapun, anak mangsa, Annuar Teh, 45, lega apabila tiada sebarang kecederaan menimpa ahli keluarganya dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu.

Menurutnya, ketika runtuhan berlaku ibu bersama anak-anaknya berada di ruang tamu rumah.

“Saya bersyukur ibu dan keluarga selamat. Ibu saya merupakan orang kelainan upaya (OKU). Ibu dan anak-anak selamat sebab berada di ruang tamu," katanya yang menetap di Teluk Pasu.

Annuar yang juga merupakan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu ditemui media ketika menerima lawatan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus di rumahnya, semalam.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diwakili pegawai khasnya, Wan Yusrizal Wan Shafi'i menziarahi keluarga itu untuk melihat keadaan Teh dan kerosakan rumah.

Annuar berkata, akibat kejadian itu dia terpaksa membaik pulih semula kerosakan yang berlaku akibat runtuhan berkenaan dengan anggaran belanja RM15,000.

Artikel Berkaitan:

Kesulitan dialaminya mendapat perhatian Dr Khairuddin apabila Wan Yusrizal menyampaikan sumbangan wang tunai yang sedikit sebanyak dapat menampung kos pembaikan kerosakan.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Pasu, Mohamad Omar.