Pekerja Petronas maut kereta rempuh belakang lori

Gambar keadaan kereta dipandu mangsa yang dikongsi pengguna Fecebook. - Foto FB Info kemalangan Jalan Raya (IKJR)
Gambar keadaan kereta dipandu mangsa yang dikongsi pengguna Fecebook. - Foto FB Info kemalangan Jalan Raya (IKJR)
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja Petronas maut selepas kereta dipandu dipercayai merempuh belakang sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Loji Air Semambu di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Mohd Yasseer Syaddad Roslan, 32, beralamat di Kerteh, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal pihaknya, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gebeng.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak sebuah lori (belum dikenal pasti) di hadapannya lalu terlanggar belakang kenderaan berkenaan.

“Akibat kejadian, mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Kamarulzaman berkata, pihaknya kini masih mengesan lori terlibat berikutan pemandunya belum membuat laporan polis.

“Kita minta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan: