Pengarah syarikat warga Singapura mengaku tidak bersalah

Tertuduh, Sim Wei Der dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat melupuskan sida buangan terjadual ke dalam Sungai Kim Kim, Mac lalu.
Tertuduh, Sim Wei Der dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat melupuskan sida buangan terjadual ke dalam Sungai Kim Kim, Mac lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengarah syarikat warga Singapura mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan bersubahat melupuskan sisa buangan terjadual di Sungai Kim Kim, bulan lalu.

Tertuduh, Sim Wei Der, 50, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Jailani Rahman selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah bersubahat dengan tiga individu lain untuk melupuskan buangan terjadual di bawah kod SE311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam Sungai Kim Kim.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan menggunakan lori jenis Mitsubishi dan semi-treler tangki minyak sawit tanpa mendapat apa-apa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling di mana ia telah dilakukan hasil daripada persubahatannya.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang antara jam 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, pada 7 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama dengan Seksyen 42 Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34B(4) Akta yang sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di Balai Polis Pasir Gudang setiap 15 hari bulan setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Amir Nasruddin dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguamnya, Joshua Tay.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang pengarah syarikat yang dikehendaki untuk kes pencemaran Sungai Kim Kim menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, lelaki warga Singapura terbabit menyerah diri di IPD tersebut sekitar jam 11.17 pagi.