Kor Ming nafi hina TMJ

Kor Ming dalam ciapan di Twitter meminta tindakan segera diambil SKMM dan pihak polis terhadap tindakan fitnah yang dikaitkan dengannya.
A
A

IPOH - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menafikan gambar tular berkaitan satu hantaran Facebook yang menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam satu hantaran di Twitter, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis mengambil tindakan segera terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu.

"Barang siapa yang melakukan fitnah, dia akan masuk neraka. @SKMM_MCMC & @PDRM sila ambil tindakan segera terhadap pihak yang melakukan fitnah berdusta ini," katanya menerusi Twitternya yang turut dimuat naik bersama keratan gambar tular itu.

Dalam pada itu, menurut laporan Malaysiakini, Kor Ming akan mengarahkan pembantu peribadinya membuat laporan ke SKMM bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, tindakan fitnah itu sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan nama baiknya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah berkenaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia