Saya bukan nak berbalah dengan Khalid, kata Hannah Yeoh

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menegaskan beliau menolak cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berhubung projek pembangunan Taman Rimba Kiara bukanlah untuk berbalah dengan Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Menurutnya, beliau hanya melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat kepada pengundinya.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengecilkan saiz projek pembangunan Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini kerana beranggapan ia bukan tindakan terbaik untuk penduduk di situ.

“Ini bukan satu perbalahan. Saya lakukan tugas saya sebagai Ahli Parlimen untuk pengundi.

“Saya tidak fikir rancangan pembangunan yang dicadangkan ini adalah yang terbaik untuk penduduk rumah panjang dan Taman Rimba Kiara,” katanya dalam status dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya.

Hannah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata beliau mempunyai tiga sebab berhubung penolakan tersebut.

Katanya, sebab utama adalah pembangunan dicadangkan masih membabitkan kawasan Taman Rimba Kiara dan ia tidak banyak berbeza daripada projek asal yang diluluskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tambahnya, beliau menolak penyelesaian dicadangkan Khalid kerana tidak bagus bagi dirinya, penduduk rumah panjang dan pengguna Taman Rimba Kiara.

Artikel Berkaitan:

Beliau mempersoalkan mengapa penduduk rumah panjang dipindahkan ke satu sudut kecil dan mewujudkan halangan besar di antara mereka yang mampu membeli kondominium dan mereka yang tidak berkemampuan.

Katanya, beliau mahu penduduk rumah panjang dilayan lebih baik daripada itu.

Terdahulu, Khalid dilapor berkata, pemaju bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar.

Katanya, sebuah blok pangsapuri yang terdiri daripada 350 unit bagi kegunaan penduduk rumah panjang Bukit Kiara dikekalkan dalam projek itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet tentukan status projek Taman Rimba Kiara